Home Sukan AKSI BERSAMA HARIMAU MALAYA BOLEH NAIKKAN KEMBALI NILAI FAISAL

AKSI BERSAMA HARIMAU MALAYA BOLEH NAIKKAN KEMBALI NILAI FAISAL

256
0

KUALA LUMPUR: Nilai pasaran Faisal Halim boleh kembali meningkat sekiranya dia berjaya menampilkan prestasi lebih baik bersama Selangor FC (SFC) dan skuad kebangsaan selepas ini.

Berdasarkan laman transfermarkt.com, ‘saham’ Faisal jatuh kepada €350,000 (RM1.7 juta) berbanding €400,000 (RM1.94 juta) pada Disember 2023.

Kejatuhan nilai pasaran pemain berusia 27 tahun itu dipercayai berpunca daripada kekurangan minit permainan dan prestasinya merudum selepas menjadi mangsa simbah asid pada awal Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas hampir setahun terpaksa bergelut untuk mendapatkan kembali sentuhannya, prestasi Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey ketika ini dilihat semakin meningkat.


Faisal berjaya membuka akaun jaringan dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas meledak hatrik ketika membantu SFC membelasah Kelantan Darul Naim (KDN) 7-0, bulan lalu.

Malah, dia mendapat panggilan menyertai skuad kebangsaan buat kali pertama selepas hampir setahun dan masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-74 ketika aksi kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Nepal, 25 Mac lalu.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah tidak menolak kemungkinan nilai pasaran Faisal boleh kembali meningkat pada masa akan datang.

Beliau yang lebih 20 tahun bertindak sebagai ejen pemain bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada persembahan Faisal termasuk aksi bersama kelab dan skuad kebangsaan.

“Mungkin nilai pasaran dia (Faisal) boleh naik semula selepas ini, bergantung kepada persembahan dia. Maknanya dia kena berusaha keras untuk menampilkan prestasi terbaik.

“Saingan Liga M musim ini pun sudah nak habis, jadi tidak banyak sangat perlawanan. Jadi, dia kena tunggu sama ada dipanggil ke skuad kebangsaan lagi atau tidak,” katanya kepada BH Sukan.

Faisal berada di kedudukan kelima senarai nilai pasaran pemain skuad kebangsaan di belakang Dion Cools (RM3.88 juta), Arif Aiman Hanapi (RM2.91 juta), Matthew Davies (RM2.18 juta) dan Hector Hevel (RM2.18 juta).

Semalam, BH Sukan melaporkan Faisal perlu terus bangkit dengan persembahan terbaik untuk memikat ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski.

Bekas penyerang skuad kebangsaan, Azlan Johar menyiftatkan aksi lebih 15 minit ketika berdepan Nepal dianggap sebagai amat bermakna dan menjadi kemenangan buat Faisal.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here