KABUL: Afghanistan hari ini, mendakwa puluhan mangsa maut dan cedera akibat serangan udara Pakistan di kawasan sempadan.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, jurucakap kerajaan, Zabihullah Mujahid, dalam ciapan di X, berkata Pakistan didakwa mengebom orang awam di wilayah Nangarhar dan Paktika, malam tadi.
Kejadian itu, katanya, mengakibatkan puluhan mangsa maut dan cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Terdahulu, AFP melaporkan Islamabad melancarkan serangan di sepanjang sempadan Pakistan-Afghanistan, menyasarkan kumpulan militan yang didakwa melakukan serangan bom berani mati di Pakistan, baru-baru ini.
Serangan itu menyasarkan tujuh lokasi di sempadan Pakistan-Afghanistan, berpandukan risikan tentera terhadap tujuh kem dan lokasi persembunyian ahli kumpulan militan.
Pakistan dilaporkan mendakwa memiliki ‘bukti kukuh’ mengenai serangan terkini, termasuk insiden bom berani mati, menyasarkan masjid Syiah di Islamabad, mengorbankan 31 mangsa, pada awal bulan ini.
Kejadian itu didakwa dilakukan kumpulan militan yang bertindak atas ‘arahan kepemimpinan dan pengendali berpangkalan di Afghanistan’.
Serangan Pakistan itu berlaku selang beberapa jam selepas seorang pengebom berani mati menyasarkan konvoi keselamatan berhampiran daerah Bannu di barat laut, mengorbankan dua tentera termasuk seorang leftenan kolonel.
Susulan keganasan semalam, itu tentera Pakistan memberi amaran tidak akan ‘menunjukkan sebarang sekatan’ dan operasi terhadap pihak bertanggungjawab akan diteruskan ‘tanpa mengira lokasi mereka’ dengan kenyataan itu menggambarkan ketegangan semakin memuncak antara Islamabad dan Kabul.
Beberapa hari sebelum itu, seorang lagi pengebom berani mati yang disokong lelaki bersenjata, merempuh kenderaan sarat bahan letupan ke dinding pos keselamatan di daerah Bajaur, wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa yang bersempadan dengan Afghanistan.
Letupan menyebabkan sebahagian kompleks terbabit runtuh, mengorbankan 11 anggota tentera dan seorang kanak-kanak, selain pihak berkuasa kemudian memaklumkan penyerang adalah warga Afghanistan.
Islamabad turut melancarkan serangan di Afghanistan, menyasarkan tempat persembunyian kumpulan militan, pada Oktober lalu.
Hubungan kedua-dua negara jiran itu tegang sejak Oktober lalu, susulan pertempuran mengerikan di sempadan yang mengorbankan puluhan tentera, orang awam dan ahli kumpulan militan.
Keganasan itu berlaku susulan letupan di Kabul yang dituduh oleh pegawai Afghanistan berpunca daripada Pakistan. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






