KUALA LUMPUR: Sesi rakaman podcast eksklusif Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37 di Balai Berita, Bangsar di sini, baru-baru ini, sarat dengan pelbagai kisah menarik pasangan selebriti, Adam Lee, 31, dan Sweet Qismina, 28.
Memetik laporan Berita Harian, selepas tiga tahun melayari bahtera rumah tangga, merpati dua sejoli ini tidak sekadar menampilkan keserasian atau kemesraan di layar kaca, sebaliknya, membuktikan kematangan dalam menguruskan kehidupan sebagai pasangan suami isteri.
Di sebalik gelak tawa dan usikan manja sepanjang sesi temu bual, tersingkap rahsia kecil yang menjadi asas keharmonian mereka merangkumi kepercayaan, komunikasi dan saling memahami perbezaan antara satu sama lain.
Perkongsian Sweet atau nama sebenar, Farhanna Qismina Supandi mengenai perubahan Adam selepas berkahwin membuka sisi peribadi pasangan itu yang jarang dikongsi secara terbuka.
Menurut Sweet, Adam adalah jejaka ‘lone ranger’ atau lebih suka berdikari tanpa terlalu bergantung kepada keluarga yang berbeza daripada sikapnya.
“Saya seorang yang sangat mementingkan keluarga. Hidup dan mati saya bersama keluarga. Jadi, apabila dia berjumpa saya yang setiap masa mahu ajak mama (ibu) dan adik keluar tengok wayang bersama, dia jadi pelik.
“Saya masih ingat lagi, pada hari pertama dia berjumpa mama, saya beritahu, kalau nak ajak saya keluar, kena telefon mama dulu, minta izin. Itu memang satu kejutan budaya untuk dia.
“Kemudian dia jawab perlukah? Sebelum ini, dia beritahu, dia keluar dengan perempuan, tak pernah pun minta izin. Tapi bagi saya, itulah perubahan yang sangat baik untuk dirinya,” katanya kepada BH Online.
Sweet bagaimanapun mengakui, perubahan itu menjadikan Adam jejaka lebih matang dan mesra keluarga, sekali gus memberi cerminan jejaka berkenaan mampu terus mengemudi bahtera rumah tangga dengan sebaiknya.
“Apabila seseorang mula belajar memahami keluarga, secara tidak langsung dia sedang bersedia untuk membina keluarga sendiri. Saya bersyukur, sebab perubahan itu menjadikan Adam lebih penyayang dan rapat dengan keluarga berbanding saya sendiri.
“Kalau saya sibuk bekerja, dia akan pastikan semuanya terurus. Kadang-kadang dia sudah sampai rumah mama, tengok keadaannya, atau baru-baru ini, apabila ibu saudara saya masuk hospital, dia dengan sendiri datang jenguk.
“Itu antara perkara kecil yang bagi saya menunjukkan perubahan besar selepas berkahwin. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur,” katanya.
Tidak hanya berfokus kepada kisah perubahan pasangan, sebaliknya, sesi podcast itu diisi dengan perkongsian Sweet mengenai rahsia mengekalkan keharmonian dalam perhubungan.
Selain kasih sayang, Sweet berkata, dia percaya kepercayaan dan komunikasi harian menjadi asas utama untuk menuju apa dikatakan kebahagiaan rumah tangga.
“Kepercayaan pula bagi saya sangat penting dalam hubungan suami isteri. Walaupun kami sama-sama dalam bidang yang sama (lakonan), kalau tiada kepercayaan, akan tetap wujud rasa curiga.
“Contohnya, kalau saya menjalani penggambaran siang dan Adam bekerja malam, kami akan saling maklum setiap masa. Kami jenis yang akan berkongsi antara satu sama lain setiap hari.
“Orang luar mungkin nampak macam berlebihan, tapi bagi kami, itu perlu. Industri hiburan ini kecil, tapi pergaulannya luas. Kita akan bertemu ramai orang. Jadi dengan saling berkongsi jadual dan lokasi kerja, kami boleh menjaga diri dan perhubungan dengan lebih baik,” jelas Sweet.
Adam pula berkongsi sisi berbeza mengenai perubahan isterinya selepas mendirikan rumah tangga dengan menyifatkan wanita itu kini lebih berdikari berbanding sebelum ini yang sering bergantung kepada ibu.
“Bagi saya, perubahan paling ketara selepas berkahwin ialah pengurusan masa Sweet. Dulu dia sangat bergantung kepada mama dari bangun pagi sampai kepada urusan kerja. Tetapi, saya bukan jenis begitu. Saya dibesarkan untuk berdikari.
“Emak saya selalu pesan, kau campaklah di mana pun, kau boleh hidup. Tetapi, apabila keluarga perlukan, saya akan datang tanpa soal. Jadi, apabila melihat Sweet terlalu bergantung kepada mama, saya cuba ubah perlahan-lahan.
“Saya kata, awak sudah besar, kena belajar buat sendiri. Jangan susahkan mama lagi. Mama sudah berusia. Saya mahu dia belajar berdiri atas kaki sendiri, buat keputusan dan urus masa sendiri… Alhamdulillah, sekarang saya nampak perubahan tu,” katanya.
Tidak hanya berkongsi mengenai perubahan Sweet, Adam turut mengungkap apa sebenarnya yang sedang bergelora dalam hatinya sebelum berkahwin.
Adam atau nama sebenar, Muhamad Arif Adam Mohamed Fadlee mengakui, sebelum berkahwin dia sempat berasa bimbang mengenai penerimaan keluarga mentuanya.
“Sebelum berkahwin, jujurnya saya agak bimbang sekiranya keluarga Sweet tidak dapat menerima saya. Saya bukan sesiapa, bukan orang berada. Saya dibesarkan tanpa dulang emas. Apa sahaja yang saya mahu, saya kena usaha sendiri sejak kecil.
“Tetapi, Alhamdulillah, penerimaan mama Sweet sangat baik. Dia seorang ibu tunggal, ketua keluarga yang tegas tapi penyayang. Saya rasa bersyukur sebab mereka terima saya seadanya walaupun saya banyak kekurangan,” katanya.
Selain berkongsi mengenai rumah tangga, pasangan ini juga meluahkan rasa syukur apabila bolos Top 10 pada ABPBH 37 termasuk masih meraih sokongan padu peminat.
Sweet berkata, pencalonan itu di luar jangkaan mereka kerana masih ada beberapa perkara terutama membabitkan aspek kekeluargaan untuk diberi keutamaan.
“Tahun ini sebenarnya kami tidak jangka apa-apa pun. Banyak perkara yang sedang kami susun untuk masa depan termasuk urusan rumah tangga dan kediaman baharu. Jadi, apabila nama kami tersenarai dalam Top 10, memang langsung tak terfikir.
“Kami pun tidak berbincang apa-apa dengan kelab peminat untuk menggerakkan undian tahun ini. Tapi mungkin sebab mereka sudah lama bersama kami, itu yang buat mereka begitu bersemangat untuk membantu.
“Kami sempat berbual dengan Sweet Qismina Nizers dan Adam Lee Nizers (kelab peminat), mereka bersemangat untuk bantu kami buat kemunculan semula. Saya tersentuh sebab ramai dalam kalangan mereka kini sudah berumah tangga, ada anak dan ada kehidupan sendiri.
“Macam satu pertemuan semula selepas 10 tahun. Rezeki kami kali ini saya anggap datang daripada rezeki mereka juga, sebab tanpa mereka, tidak mudah untuk kami sampai ke tahap ini,” katanya.
ABPBH 37 menyaksikan Sweet tercalon dalam dua kategori, iaitu Aktres Filem Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular bersama Qi Razali menerusi filem Babah. Adam pula menembusi kelompok Top 10 calon Aktor Pembantu Filem Popular.
Sweet yang juga pemenang kategori Artis Baru Wanita ABPBH 30 pada 2017 turut mengimbau pesanan seorang kenalan lama yang sentiasa menjadi pegangan.
“Ada yang beritahu saya suatu ketika dahulu, dalam industri seni ini, setiap orang ada rezeki berbeza. Kita macam padi, ada masa laluan kita terbuka, ada masa orang lain perlu tebas jalan untuk kita dan kadang-kadang kita kena tebas sendiri.
“Undian memang penting, tapi bagi saya, kekuatan sebenar datang daripada doa dan sokongan peminat yang percaya kepada kita.
“Mereka sanggup berjaga malam untuk mengundi, sentiasa kata yang baik-baik. Jadi, apabila orang kata ‘peminat adalah pembuka rezeki artis,’ saya tidak menafikannya langsung,” katanya.
Adam turut sependapat apabila berbicara soal penghargaan kepada peminat yang banyak membantu mereka dalam perjalanan seni.
“Ketika saya mula mengenali Sweet, saya tahu dia lebih berpengalaman dan senior daripada saya. Bila tahu dia ada kelab peminat dan pengurusannya sendiri, saya agak terkejut sebab saya ni jenis bekerja sendiri sejak umur 18 tahun sampai 31 tahun.
“Jadi, bila tiba-tiba ada kelab peminat, ‘admin’ (ketua kelab peminat) dan komuniti tersendiri, saya agak kekok. Tapi saya bersyukur sebab peminat Sweet juga menerima saya dengan tangan terbuka,” kata pemenang kategori Artis Baru Lelaki Popular ABPBH 32 pada 2019 ini.
Adam dan Sweet sah bergelar suami isteri pada majlis pernikahan di Ampang pada 24 Oktober 2022.
Sweet baru-baru ini memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-34 melalui naskhah Babah yang turut dibintangi Adam. – BH Online –
IMedikel TV






