NEW YORK: Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro suasana meriah menyelubungi pusat bandar New York apabila acara tahunan “Taraweeh in Times Square” kembali menyatukan ribuan umat Islam pada Jumaat.
Program anjuran kumpulan Way of Life SQ (SQ) ini bukan sekadar aktiviti keagamaan, malah menjadi platform dakwah terbesar bagi memperkenalkan keindahan Islam kepada masyarakat dunia.
SQ melalui video di media sosial berkata, acara berkenaan bermula sejak 2022 dianjurkan bagi menyatukan umat Islam yang berada di seluruh pelusuk Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
“Di bawah limpahan cahaya papan iklan gergasi, warga Muslim dari serata pelusuk AS dan Kanada hadir membawa sejadah masing-masing.
“Majlis bermula dengan sesi berbuka puasa secara percuma hasil kerjasama rakan strategik sebelum diteruskan dengan solat sunat Tarawih berjemaah,” katanya.
Menurutnya, objektif utama himpunan ini adalah bagi memupuk perpaduan sesama Muslim di samping memberi kefahaman kepada orang awam bahawa Islam adalah agama kedamaian.
Sejak dimulakan pada tahun 2022, acara ini terus berkembang sebagai simbol keberanian dan jati diri penganutnya di ruang awam.
Kehadiran pengunjung bukan beragama Islam yang memerhati dengan penuh minat turut mencerminkan suasana harmoni.
“Bagi penganjur, Times Square dipilih kerana lokasinya yang ikonik, sekali gus memudahkan mesej kasih sayang dan ketenangan Ramadan disampaikan secara terus kepada penduduk tempatan mahupun pelancong,” katanya.
Berdasarkan laporan media, lebih 3,000 individu menyertai acara yang diadakan pada tahun ini berbanding sekitar 1,000 individu dicatatkan turut serta pada 2022 dan 2023. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






