Home Buletin Semasa SEBUAH SYARIKAT, EMPAT PENGARAH DIDAKWA TERLIBAT PENGUBAHAN WANG HARAM HAMPIR RM20 JUTA

SEBUAH SYARIKAT, EMPAT PENGARAH DIDAKWA TERLIBAT PENGUBAHAN WANG HARAM HAMPIR RM20 JUTA

PUTRAJAYA: Sebuah syarikat bersama empat pengarahnya, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Georgetown, Pulau Pinang pada 18 Oktober lalu, atas pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah 20.3 juta ringgit di antara Januari 2019 sehingga Disember 2022.

Sebanyak keseluruhan 94 pertuduhan telah dibacakan terhadap tertuduh.

Syarikat tersebut bersama empat pengarahnya berusia di antara 31 hingga 35 tahun itu merekodkan pengakuan tersebut ke atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim, Tuan Mazdi Abdul Hamid.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Noor Zalizan Lazarous dan Wan Nur Amanina Wan Din.

Kesemua tertuduh didakwa telah menerima wang yang disyaki merupakan hasil pengubahan wang haram berjumlah RM 2.08 juta daripada sebuah akaun semasa milik syarikat itu bagi tempoh tahun 2019 sehingga 2022.

Kesemua pengarah syarikat itu turut dituduh kerana telah menggunakan wang hasil aktiviti haram berjumlah rm168,681.00 untuk memperoleh lapan buah kenderaan mewah sepanjang tempoh tersebut.

Setelah mendengar permohonan TPR dan rayuan peguam, telah menetapkan jumlah jaminan keseluruhan ke atas kesemua tertuduh sebanyak RM1.748 juta.

Bagaimanapun, peguam tertuduh telah mengemukakan rayuan berhubung kaedah pembayaran wang jaminan kerana melibatkan nilai yang besar.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kaedah pembayaran wang jaminan sebanyak duakali iaitu sebanyak RM80,000setiap seorang pada tarikh pertuduhan manakala selebihnya pada 23 Oktober 2023 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan kepada semua tertuduh untuk melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan larangan mengganggu saksi dalam apa jua cara.

Sekiranya tertuduh melanggar mana-mana syarat tersebut maka jaminan akan dibatalkan. Mahkamah telah menetapkan tarikh 1 Disember 2023 bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4(1)(B) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 [Akta 613].

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu atau lima juta ringgit, yang mana lebih tinggi. – SUMBER KPDN –

IMedikel TV


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here