LONDON: Mikel Arteta meminta pentadbir Liga Perdana Inggeris menimbang untuk meningkatkan saiz skuad ketika bos Arsenal itu mendedahkan Gabriel Jesus dan Thomas Partey mungkin tidak dapat beraksi selama beberapa minggu.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Jesus, 26, disyaki mengalami kecederaan hamstring ketika kemenangan ke atas Sevilla dalam Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu manakala Partey, 30, tidak boleh diturunkan kerana kecederaan otot.
“Imbasan menunjukkan ada kecederaan otot (bagi Jesus) dan kami mungkin kehilangannya selama beberapa minggu sekali lagi,” kata Arteta pada sidang akhbar lewat malam tadi.
“Dengan Gabby anda tidak boleh memberikan satu jangka masa kerana dia sering kali mengejutkan kami, tetapi memang ada masalah dialaminya.
“Dia berasa agak janggal dan memang benar dia banyak dibebani dalam beberapa minggu terakhir bersama pasukan kebangsaan dan kemudian bermain pada perlawanan itu. Ia satu berita yang amat buruk buat kami.”
Arteta berkata, kelab itu belum tahu tahap kecederaan dialami Partey.
“Dia menjalani banyak ujian hari ini tetapi dia mengalami kecederaan itu ketika sesi latihan sebelum menentang Sevilla, jadi ia memang malang,” katanya.
Bos Arsenal itu percaya meningkatkan saiz skuad melebihi had semasa 25 pemain boleh mengendurkan tekanan buat pemain dan pengurus.
Bermula musim depan, setiap pasukan yang layak ke Liga Juara-Juara akan bermain sekurang-kurangnya lapan perlawanan, manakala dari tahun 2025, Piala Dunia Kelab ditingkatkan kepada 32 pasukan.
“Jika kita mempunyai lebih banyak perlawanan, lebih kompetitif dan secara fizikal standard lebih tinggi – dengan bermain lebih banyak minit – kita perlu melakukannya (meningkatkan saiz skuad) atau di sebalik lima pemain gantian, kita ada 10,” katanya menjelang perlawanan menentang kelab tercorot Sheffield United malam ini. – AFP-
-BH ONLINE-
Imedikel TV






