KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalinkan kerjasama dengan beberapa agensi berkaitan untuk penyediaan helipad (tempat pendaratan helikopter) bagi melancarkan operasi pemindahan pesakit ketika bencana.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Sri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pihaknya memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa agensi seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Perhutanan.
Katanya, ia adalah bagi memastikan kecekapan ketika memindahkan pesakit ke hospital atau dari kawasan pedalaman ke hospital menggunakan pesawat udara dan memerlukan kawasan pendaratan yang khusus.
“Apabila MoU dimenterai dengan Kementerian Kesihatan, pihak kami boleh meminta kepada hospital-hospital berkenaan untuk menyelenggaranya, namun ada sesetengah hospital yang sedia ada sudah mempunyai helipad dan perlu diselenggara.
“Bagi yang belum ada, kita minta diadakan untuk memudahkan pendaratan yang lebih dekat serta hampir dengan hospital dan menyegerakan proses penghantaran mangsa ke hospital,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja di Ibu Perkarangan Ibu Pejabat JPBM, Tunjong di sini, Rabu lalu.
Abdul Wahab berkata, pada masa sama, pihaknya juga menjalinkan kerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya melalui MOT disebabkan perlu mengambil kira keperluan helipad di sepanjang lebuh raya.
“Ia adalah penting apabila berlakunya bencana samada lebuhraya itu terputus akibat banjir dan ada mangsa terperangkap dan helikopter yang datang memberikan bantuan berada sehampir mungkin sama ada di lebuh raya atau helipad yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata, bagi kawasan pedalaman ada sesetengah ‘landing point’ yang sudah disediakan dan diselenggarakan oleh Jabatan Perhutanan untuk memudahkan pendaratan ketika berlaku kecemasan.
“Ini adalah penting untuk menyediakan tempat-tempat pendaratan bersesuaian bagi penyelamatan mangsa di kawasan banjir khususnya di pedalaman seperti Gua Musang supaya tidak ada pokok yang menghalang ketika pendaratan pesawat udara.
“Bagaimanapun, pihak kami juga sudah merancang bersama ada meminta agensi berkaitan untuk mengenal pasti lokasi helipad yang bersesuaian,” katanya.