MUNICH: Penyerang Bayern Munich, Harry Kane meledak hatrik pertamanya dalam Bundesliga selain dua umpanan gol sebelum membelasah VfL Bochum 7-0 lewat malam tadi untuk mengumpul tujuh gol dan mencipta rekod kelab bagi gol terbanyak dalam lima perlawanan pertama liga.
Tiga gol Kane itu meletakkannya di depan legenda kelab Gerd Mueller, Miroslav Klose dan Mario Mandzukic yang masing-masing menjaringkan lima gol dalam lima aksi pertama Bundesliga.
Kelab Bavaria itu, yang menewaskan Manchester United 4-3 pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara Rabu lalu, patut menambah beberapa gol lagi jika tidak kerana kecekapan penjaga gol Manuel Riemann.
Kemenangan itu melonjakkan Bayern ke tangga teratas dengan 13 mata daripada lima perlawanan Bundesliga. Bayer Leverkusen, dengan 10 mata, boleh menyertai mereka jika menumpaskan Heidenheim malam ini.
“Kami beraksi dengan baik hari ini dan mempunyai mentaliti yang tepat,” kata Kane. “Kami menjadikannya kelihatan mudah dan bertindak pantas dengan bola.
-Memetik laporan menerusi agensi berita harian-

“Setiap orang bermain dengan bagus hari ini, ia berasa amat bagus. Saya semakin mengenali pasukan dengan setiap perlawanan dan semuanya berjalan lancar buat saya dan pasukan.”
Kapten England itu, yang mencipta perpindahan paling mahal dalam Bundesliga apabila menyertai kelab juara Jerman itu musim ini dengan harga 100 juta euro (RM499.8 juta), meledak gol pertamanya selepas menyudahkan bola muntah pada minit ke-13.
Eric Maxim Choupo-Moting menampan masuk gol pertama pada minit keempat, Matthijs de Ligt menanduk masuk kencang pada minit ke-29 sebelum Kane mengumpan kepada Leroy Sane dengan hantaran memukau pada minit ke-38 bagi gol keempat mereka sebelum rehat.
Kane memastikan rekod kelab itu apabila dia menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-54 sebelum pemain gantian Mathys Tel menjadikannya setengah dozen pada minit ke-82 menerusi satu lagi umpanan Kane.
Penyerang England itu kemudian melengkapkan hatrik pertamanya dalam Bundesliga dengan satu tampanan bijak pada minit ke-89.
“Kami beraksi pantas dengan gerakan lancar,” kata jurulatih Bayern, Thomas Tuchel. “Ia satu hari yang penuh kejayaan dan kami berhak melakar kemenangan. Ia satu persembahan sepasukan yang hebat.” – REUTERS
Imedikel TV






