HANGZHOU: Bekas juara wushu dunia, Wong Weng Son berpeluang muncul pemenang pingat pertama kontinjen negara pada temasya Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, esok.
Memetik laporan Berita Harian, Weng Son, 31, yang bertanding dalam acara changquan, berakhir di tangga kesembilan pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 tetapi kini dia menyatakan lebih bersedia.
“Dalam sukan wushu, persiapan sahaja tidak memadai. Anda mungkin bersedia dengan rapi, tetapi kesilapan kecil pada hari pertandingan boleh menjejaskan peluang.
“Di Indonesia lima tahun lalu, saya berada dalam keadaan terbaik, tetapi pada hari pertandingan, saya melakukan kesilapan dalam rutin saya.
“Kini selepas sebulan persediaan di China (Tianjin), saya berasa bagus.
“Jika saya bertanding dengan keupayaan terbaik saya, dengan kesilapan yang minimum, saya yakin boleh menyumbang pingat buat kontinjen negara,” kata Weng Son yang muncu juara dunia di Kazan, Russia pada tahun 2017.
Atlet kelahiran Seremban itu turut mengesahkan dia berada dalam keadaan lebih baik, selepas masalah pernafasan menyaksikan dia hanya memenangi gangsa pada Sukan SEA Kemboja Mei lalu. – BH Online –
Imedikel TV






