Home Buletin Semasa RAKAN SEKELAS DIDAKWA BUNUH IRENE SOFIYA

RAKAN SEKELAS DIDAKWA BUNUH IRENE SOFIYA

BATU PAHAT: Pelajar lelaki Tingkatan Empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakan sekelasnya, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang ditemukan maut di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, pada 3 Oktober lalu.

Prosiding di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno itu dijalankan secara tertutup berikutan tertuduh masih di bawah umur.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Irene Sofiya di Dewan Sri Tanjung, sebuah sekolah menengah kebangsaan di Yong Peng, antara jam 2.30 petang hingga 4 petang, pada 3 Oktober lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Yong Peng bagi menunggu laporan forensik dan bedah siasat sebelum kes dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd Said dan Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhd Azlan Shah Mohd Allias dan Suhaila Shafi’uddin.

Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 7 pagi.

Keluarga tertuduh yang juga rakan sekelas mangsa difahamkan turut hadir mengikuti prosiding berkenaan.

Pada 3 Oktober lalu, Irene Sofiya ditemukan maut oleh neneknya bersama tiga rakan perempuan di dalam dewan sekolah kira-kira jam 5.30 petang selepas mangsa tidak pulang ke rumah selepas menghadiri kelas tambahan.

Susulan kejadian itu, tertuduh ditahan kira-kira jam 7.30 malam pada hari sama.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, sebelum ini dilaporkan berkata, motif pembunuhan dipercayai berkaitan perasaan dendam susulan cinta yang ditolak.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tertuduh tidak berpuas hati apabila mangsa dipercayai menjalinkan hubungan dengan rakan baiknya sendiri.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here