BANGKOK: Parlimen Thailand akan mengadakan satu lagi undian di Parlimen untuk pemilihan perdana menteri negara itu pada minggu depan.
Undian berkenaan tidak akan disertai pemimpin Parti Move Forward (MFP), Pita Limjareonrat, kata seorang Timbalan Speaker hari ini, selepas pencalonannya disekat.
Tindakan Parlimen menafikan pencalonan Pita selepas debat maraton mengenai kelayakannya semalam mencetuskan kemarahan rakyat yang turun ke jalanan memprotes.
Krisis pasca pilihan raya umum (PRU) Thailand semakin memuncak dua bulan selepas MFP mengalahkan parti pesaing yang disokong tentera.
“Seorang calon hanya boleh dicalonkan sekali bagi jawatan perdana menteri dalam setiap sesi Parlimen,” kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Pichet Chuamuangphan, kepada Reuters hari ini.
Pita, 42, yang juga lulusan Universiti Harvard, Amerika Syarikat (AS) itu ditentang hebat pasukan konservatif dan institusi diraja yang menolak dasar dibawa parti itu.
Semalam, Parlimen mengundi untuk menyekat cubaan keduanya bagi jawatan perdana menteri.
Pada masa sama, Mahkamah Perlembagaan menggantungnya sebagai penggubal undang-undang susulan penyiasatan kes yang mendakwa dia melanggar undang-undang PRU kerana memegang saham dalam sebuah syarikat media.
Pita bagaimanapun menafikan melanggar peraturan pilihan raya dan tindakan perundangan serta kehakiman terhadapnya menimbulkan kemarahan penyokong parti itu.
“Jika kita adakan PRU dan ini saja yang kita dapat, kenapa tidak anda pilih buat pilihan sendiri,” kata seorang penunjuk perasaan ketika demonstrasi dilakukan di Bangkok, semalam.
Tanda pagar Twitter berhubung protes itu digunakan sekurang-kurangnya dua juta kali.
Indeks saham utama Thailand meningkat kira-kira 2.6 peratus sejak 14 Julai lalu, sehari selepas pencalonan Pita pertama kali dinafikan oleh Parlimen, manakala baht mengukuh sebanyak 1.7 peratus berbanding dolar AS.
Gabungan lapan parti diterajui MFP dijangka mengemukakan calon baharu pasa pemilihan perdana menteri minggu depan.
Antara lain, jutawan hartanah dan muka baru dalam arena politik Thailand, Srettha Thavisin, dari parti Pheu Thai dijangka dicalonkan. – REUTERS, BH Online –
Imedikel TV






