Home Luar Negara RUSSIA BERI AMARAN LARANG KAPAL MASUK KE UKRAINE

RUSSIA BERI AMARAN LARANG KAPAL MASUK KE UKRAINE

197
0

MOSCOW: Russia memberi amaran bahawa mulai hari ini, mana-mana kapal yang berlayar ke pelabuhan Laut Hitam akan dianggap membawa kargo tentera dan mungkin diserang.

Amaran itu dikeluarkan selepas Ukraine berkata ia akan menyediakan laluan perkapalan sementara untuk cuba meneruskan eksport bijirin, selepas Perjanjian Bijirin Laut Hitam yang menjanjikan laluan selamat di perairan itu tamat Isnin lalu.

Russia enggan melanjutkan perjanjian selaraskan bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Turkiye atas alasan beberapa tuntutan negara itu tidak dipenuhi.

Melalui perjanjian itu, eksport bijirin dari Laut Hitam baik menggunakan kapal Ukraine, Russia atau mana-mana kapal lain, yang dijalankan secara selamat ketika perang, dijamin keselamatan pelayaran.

Ukraine sebelum ini menjelaskan, pihaknya mahu meneruskan penghantaran bijirin di Laut Hitam dan memberitahu agensi perkapalan PBB, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), bahawa ia ‘memutuskan untuk mewujudkan laluan maritim sementara’.

Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Russia berkata, pihaknya akan menganggap semua kapal melakukan perjalanan ke Ukraine berpotensi membawa kargo tentera dan ‘negara pada bendera kapal berkenaan akan dianggap sebagai pihak dalam konflik dengan Ukraine’.

Dalam satu kenyataan menerusi aplikasi Telegram, kementerian itu menegaskan, langkah pembatalan perjanjian itu bermula pada tengah malam waktu Moscow (2100 GMT, Rabu).

Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan tidak menyatakan apa tindakan yang mungkin diambil.

Kementerian itu turut berkata, Russia juga mengisytiharkan bahagian tenggara dan barat laut perairan antarabangsa Laut Hitam sebagai tidak selamat buat sementara waktu untuk pelayaran, tanpa memberikan perincian lanjut mengenai bahagian laut yang akan terjejas.

“Ia menunjukkan kami sedang berusaha untuk bekerja dan terus bekerja keras dalam zon perang,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric, ketika ditanya mengenai amaran Russia.

Ukraine semalam menuduh Russia merosakkan infrastruktur eksport bijirin dalam serangan semalaman yang tertumpu pada dua pelabuhan Laut Hitamnya.

“Di pelabuhan yang diserang hari ini, terdapat kira-kira satu juta tan makanan yang disimpan. Ia adalah jumlah yang sepatutnya dihantar ke negara pengguna di Afrika dan Asia,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy dalam ucapannya kelmarin.

Tambahnya, ia menyebabkan 60,000 tan produk pertanian, kebanyakannya untuk dihantar ke China, rosak. – REUTERS, BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here