Home Hiburan ERYSHA EMYRA SIMPAN HASRAT BERLAKON DI SAMPING NONISWARA

ERYSHA EMYRA SIMPAN HASRAT BERLAKON DI SAMPING NONISWARA

EMPAT tahun dalam industri seni, bakat lakonan Erysha Emyra, 27, boleh dikatakan cepat menyerlah, apatah lagi kebanyakan jalan cerita projek drama diterimanya berjaya memberi impak.

Memetik laporan Harian Metro, Bermula dengan drama pertama, Perempuan Itu pada 2022 sebagai watak Wardah, lakonan Erysha berjaya meninggalkan kesan dan hingga kini masih diingati penonton.

Terbaharu, Erysha yang juga anak kepada pelakon senior, Datin Seri Noniswara Baharuddin, 56, ini muncul membintangi drama Bayangan Dendam arahan Helmi Yusof yang disiarkan di platform Viu.

Membawa watak sebagai Ariana, karya ini mengisahkan cinta tiga segi yang berakhir tragedi serta pengkhianatan dalam persahabatan, sekali gus mengheret kepada pelbagai konflik hubungan.

Ditemui baru-baru ini, Erysha atau nama sebenar, Nur Erysha Emyra Zakaria berkata, karakter Ariana dilakonkan itu agak berat dan mencabar dirinya kerana perlu bermain dengan emosi.

“Saya teruja dapat berlakon dalam drama ini sebab jalan ceritanya memang ‘best’. Saya percaya kisah dalam drama ini dekat dengan kita, dan berlaku dalam realiti, terutama mengaitkan cinta dan persahabatan.

“Dalam Bayangan Dendam, Ariana adalah rakan baik Melissa, dan pergi belajar ke luar negara yang mempertemukannya dengan Farhan. Walaupun tahu hubungan cinta sahabatnya, Ariana terjebak.

“Jadi, Ariana adalah ‘orang ketiga’ di antara Melissa dan Farhan. Maka, dari sisi baik Ariana itu berubah ke sebaliknya, dan ia membuat penonton jadi geram. Jadi, Ariana nampaknya dikecam,” katanya.

Ditanya penerimaannya terhadap kecaman netizen di media sosial, Erysha berkata, dia bersikap terbuka dengan komen-komen ditulis yang memarahi watak Ariana sekali gus menunjukkan lakonannya menjadi.

“Lucu juga bila tengok komen-komen netizen yang meluah emosi. Tetapi, biasalah bila cerita itu dekat dengan kita memang akan terasa. Jadi, bagi saya, watak Ariana yang dibawa itu kiranya menjadi.

“Sebagai pelakon baharu, masih banyak perlu saya pelajari lagi untuk memastikan watak dilakonkan berkesan, dan penonton dapat merasainya. Apa pun, saya masih kena usaha.

“Cuma, terima kasih kepada abang Helmi yang mengarahkan drama ini sebab banyak membantu dan rakan pelakon lain juga. Saya pun selesa kerja bersama Sophia iaitu Melissa dan Nadhir (Farhan),” katanya.

Mengulas mengenai watak, Erysha berkata, dia tidak terlalu cerewet memilih, tetapi lebih fokus kepada jalan cerita yang mahu dipersembahkan oleh karya itu, termasuk memastikan karakter yang dibawa bersesuaian.

“Setakat empat tahun ini, saya suka dengan watak dilakonkan, dan drama ini juga diterima baik oleh penonton. Bila lakonan kita diterima, saya memang ‘happy’ sebab dapat ‘deliver’ dengan baik.

“Kalau penonton nak marah ke, geram dan bengang dengan watak saya, tidak apalah. Tetapi, cuma (marah) watak sahaja sebab itu sekadar lakonan semata-mata. Dalam realiti, saya adalah seorang Erysha Emyra.

“Personaliti diri saya biasa sahaja orangnya. Saya sekarang memang fokus pada kerjaya seni dan mohon doa yang baik-baik. Perjalanan saya masih jauh dan ada impian yang mahu dikejar.

“Bagaimanapun, saya perlu lipat gandakan usaha untuk berjaya. Apatah lagi, masih ada watak saya inginkan belum diperoleh, termasuk mencuba watak dalam genre aksi, seram dan sebagainya,” katanya.

Antara drama lain pernah dibintangi Erysha ialah Cinta Wrong Direction, Aku Bukan Ustazah, Cinta Untuk Sekali Lagi, Ofis Politik, Rumah Tanpa Luka, Ikatan Terlarang, Dara & The Gang dan Satu…Dua Dia?

Meskipun masih ‘hijau’ dalam industri seni, bakat lakonan Erysha dihargai peminat apabila pernah meraih trofi Artis Baharu Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-36 (ABPBH 36) pada 2024.

Belum ada peluang berlakon dengan Mama

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, begitulah juga bakat seni diwarisi Erysha daripada ibu tersayang, Noniswara yang memang antara pelakon dikenali ramai sehingga kini.

Pun begitu, di sebalik kesibukan Erysha memenuhi tawaran berlakon, anak kedua daripada tiga beradik ini mengakui belum berpeluang berlakon di sisi ibunya dalam sebuah drama.

“Saya sebenarnya memang ada hasrat untuk bergandingan dengan Mama dalam sebuah naskhah pada masa akan datang. Tetapi, buat masa ini belum lagi terima tawaran rasmi daripada beberapa produksi.

“Permintaan untuk saya dan Mama digandingkan bersama pernah disuarakan oleh pihak produksi yang berminat, tetapi buat masa ini jadual saya yang selalu tidak kena dengan Mama.

“Bila Mama ada masa ‘free’ nak buat, saya pula ketika itu masih sibuk di set penggambaran. Jadi, saya yang perlu menolak dulu sebab tidak mahu menyusahkan pihak lain. Lagi pula, kita ‘shooting’ ini mesti bekerja dalam kumpulan,” katanya.

Katanya, sekiranya ada tawaran untuk dia dan ibunya disatukan dalam drama suatu hari nanti, pasti akan direalisasikan jika watak bersesuaian. – HMetro –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here