Sao Paulo: Juara dunia Formula Satu (F1) termuda, Kimi Antonelli memberi penghormatan kepada idolanya sejak kecil, Ayrton Senna dengan menyifatkan bakat, disiplin dan dedikasi legenda Brazil itu akan terus menjadi inspirasi dalam perjalanan kariernya.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Pelumba Itali berusia 20 tahun itu melakar sejarah apabila muncul juara dunia selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada Grand Prix Mexico, Ahad lalu.
Menjelang Grand Prix Sao Paulo hujung minggu ini, Antonelli meluangkan masa bersama keluarga Senna selain berpeluang duduk di kokpit jentera Lotus 1986 milik legenda berkenaan.
Lebih menyentuh perasaan, Antonelli turut mengunjungi pusara Senna buat tahun kedua berturut-turut sebagai tanda penghormatan kepada insan yang banyak mempengaruhi perjalanan awal kariernya.
“Sudah tentu, kemampuan Senna sebagai pelumba memang luar biasa.
“Namun, saya turut mengagumi etika kerjanya, sikap, dedikasi dan betapa mendalamnya kecintaan dia terhadap sukan ini.
“Selain itu, peribadi beliau yang sangat memahami orang lain serta sentiasa berusaha memberikan kembali apa yang diterimanya turut memberi kesan kepada saya.
“Semua perkara itu menarik perhatian saya sejak kecil dan menjadi sebab saya mendapat inspirasi daripadanya sejak usia muda,” katanya kepada Reuters ketika menghadiri acara Petronas di Sao Paulo.
Senna yang dianggap antara pelumba terhebat dalam sejarah F1 meninggal dunia akibat kemalangan ketika Grand Prix San Marino di Imola pada 1994.
Sepanjang musim ini, Antonelli kerap dibandingkan dengan Senna, malah ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff sebelum ini mengingatkan supaya pelumba muda itu tidak dibebani jangkaan terlalu tinggi.
Antonelli mengakui masih cuba menghayati detik penuh emosi bersama keluarga Senna, selain memproses segala pengalaman yang dilalui di dalam dan luar litar pada hujung minggu lalu. -REUTERS, HMetro Online-
IMedikelTV






