Home Luar Negara ANCAMAN BOM GANGGU PENERBANGAN DI EROPAH

ANCAMAN BOM GANGGU PENERBANGAN DI EROPAH

London: Kira-kira 10 penerbangan di Eropah menjadi sasaran ancaman bom pada Selasa, sekali gus memaksa sebuah lapangan terbang di Warsaw ditutup sementara dan pesawat tentera udara dikerahkan di Rom.

Memetik laporan AFP melalui Harian Metro, Tiada bahan letupan ditemukan walaupun pemeriksaan menyeluruh dilakukan di darat selepas semua pesawat berkenaan berlepas dan mendarat dengan selamat di beberapa bandar di Eropah dalam tempoh hanya beberapa jam.

Syarikat penerbangan tambang rendah Ireland, Ryanair, dilihat paling terjejas apabila empat penerbangannya ke destinasi berbeza menjadi sasaran ancaman berkenaan.

Polis Metropolitan London mengesahkan pihaknya menerima maklumat mengenai ancaman terhadap empat pesawat yang dijadualkan berlepas dari atau tiba di Lapangan Terbang Heathrow, antara hab penerbangan paling sibuk di Eropah, pada Selasa.

Polis tidak memberikan butiran lanjut, namun memaklumkan terdapat satu lagi amaran membabitkan penerbangan di Lapangan Terbang Manchester.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati tiada isu keselamatan dikesan.

Dua ancaman bom turut menyasarkan pesawat menuju ke ibu negara Poland, Warsaw, termasuk penerbangan SAS Scandinavian Airlines dari Copenhagen dan sebuah penerbangan LOT, syarikat penerbangan Poland, dari Heathrow.

Pengendali lapangan terbang Sepanyol, Aena, mengesahkan protokol kecemasan diaktifkan susulan ancaman bom membabitkan penerbangan Ryanair yang tiba dari Manchester di Murcia, tenggara Sepanyol, pada jam 10.30 pagi.-AFP, HMetro Online-

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here