Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas polis menemukan 1,104 pil disyaki dadah jenis yaba dan syabu yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM20,000 dalam Op Tapis di Felda Aring 1, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, suspek berusia 46 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Gua Musang kira-kira jam 1.30 petang, 7 Oktober.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap motosikal di lokasi tangkapan menemukan 1,104 pil disyaki dadah jenis yaba dengan anggaran berat 110.4 gram serta bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 19.33 gram.
“Nilai rampasan dadah dianggarkan sebanyak RM20,000.
“Polis turut merampas sebuah motosikal bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media yang disiarkan semalam.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu lain yang terbabit serta sumber bekalan dadah berkenaan.
Polis turut menegaskan akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan dadah di daerah itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah diminta menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berhampiran.
IMedikel TV






