Home Buletin Semasa SINDIKET ‘CALL CENTRE’ DISERBU IMIGRESEN, 98 DITAHAN

SINDIKET ‘CALL CENTRE’ DISERBU IMIGRESEN, 98 DITAHAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUANTAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 98 individu termasuk 95 warga asing yang dipercayai terbabit dalam sindiket ‘call centre’ dalam serbuan di sebuah pusat peranginan di Jalan Sungai Arang, Sungai Lembing, di sini, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi khas yang bermula jam 12.50 tengah hari itu dijalankan selepas risikan selama sebulan mendapati premis berkenaan dipercayai dijadikan lokasi kegiatan sindiket.

Beliau berkata, serbuan membabitkan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Negeri Pahang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Daripada jumlah 98 yang ditahan, 95 adalah warga asing terdiri daripada 84 lelaki dan empat perempuan warganegara China, masing-masing seorang lelaki dan perempuan warganegara Myanmar serta masing-masing seorang perempuan warganegara Indonesia, Hong Kong, Vietnam, Kemboja dan Rusia.

“Turut ditahan tiga warga tempatan iaitu seorang lelaki dipercayai pemilik pusat peranginan serta seorang lelaki dan seorang perempuan yang dipercayai bekerja di premis berkenaan,” katanya.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 75 tahun,” katanya.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dijalankan, terdapat warga asing dan warga tempatan yang cuba bersembunyi serta melarikan diri, namun berjaya dikesan dan ditahan pasukan operasi.

Katanya, dalam operasi itu, JIM turut menyita 49 pasport China, masing-masing satu pasport Myanmar, Kemboja, Indonesia, Hong Kong dan Rusia serta satu Surat Perjalanan Laksana Pasport Indonesia (SPLP).

“Turut disita 100 telefon bimbit, 120 set komputer meja, satu set kamera litar tertutup, sembilan bungkus kad SIM yang belum digunakan, wang tunai RM5,000 serta 11 set peralatan Starlink yang dipercayai digunakan sebagai talian internet untuk kegiatan berkenaan,” katanya.

Zakaria berkata, modus operandi sindiket adalah menggunakan pusat peranginan yang telah ditutup bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Sindiket ini dipercayai berpindah-randah dari satu negara ke negara lain dan beroperasi 24 jam sehari dengan ahli sindiket bekerja secara syif.

“Sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak tiga bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata, 42 lelaki dan dua perempuan warganegara China, seorang lelaki dan seorang perempuan warganegara Myanmar serta masing-masing seorang perempuan warganegara Hong Kong dan Indonesia ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, 41 lelaki dan tiga perempuan warganegara China serta seorang perempuan warganegara Rusia pula ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Seorang lelaki warganegara China dan seorang perempuan warganegara Kemboja pula ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Manakala dua lelaki dan seorang perempuan warga tempatan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Katanya kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here