Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia menghulurkan khidmat kaunseling dan sokongan psikososial kepada keluarga Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, Sabtu lalu.
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, berkata pihaknya mempunyai kaunselor yang sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada ahli keluarga mangsa sebaik mereka bersedia menerimanya.
Beliau berkata, bagaimanapun, buat masa ini keluarga perlu diberi ruang untuk menenangkan diri dan melalui tempoh sukar yang sedang dihadapi.

“Kaunselor-kaunselor JKM sentiasa bersedia memberikan khidmat apabila diperlukan.
“Bagaimanapun, pada masa ini biarlah keluarga diberi ruang untuk bertenang terlebih dahulu.
“Apabila mereka bersedia mendapatkan bantuan, Insya-Allah JKM akan memberikan sokongan yang diperlukan pada bila-bila masa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Program Kampung Angkat MADANI di Masjid Al Fatah, Sungai Acheh, di sini, hari ini.
Che Murad turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka diberi kekuatan serta ketabahan untuk menghadapi ujian berkenaan.
“Kita sangat bersimpati dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga yang terbabit.
“Kita berharap keluarga dapat menerima ujian ini dengan tabah dan sama-sama kita mendoakan agar mereka diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Irene Sofiya yang juga pelajar tingkatan empat, ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor.
Mangsa ditemukan oleh neneknya yang datang ke sekolah selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah kira-kira jam 5.30 petang.
Susulan kejadian itu, polis menahan tiga pelajar lelaki yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan berkenaan beberapa jam selepas mayat mangsa ditemukan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan lain, Che Murad berkata, pihaknya bersedia mengaktifkan hampir 10,000 pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), termasuk memastikan logistik, bekalan makanan dan tenaga kerja mencukupi sekiranya berlaku bencana banjir.
Beliau berkata, ia selaras dengan arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi mengaktifkan PPS apabila diperlukan, selain memperkukuhkan latihan simulasi pengurusan bencana yang dilaksanakan di seluruh negara, termasuk melalui Program Kampung Angkat MADANI, bagi memastikan semua pihak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“JKM sentiasa bersedia 24 jam. Apabila diperlukan, kita akan bertugas seperti yang ditetapkan di bawah arahan NADMA, termasuk mengaktifkan pusat pemindahan sementara.
“Melalui latihan yang kita laksanakan termasuk di Kampung Angkat MADANI, kita membuat latih amal sebagai persediaan menghadapi bencana supaya semua pihak mengetahui peranan dan tindakan yang perlu diambil,” katanya
IMedikel TV






