KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah terkenal, Erma Fatima berpandangan drama atau filem tempatan tidak wajar dipersalah atau dalam kes tertentu, terus diharamkan hanya kerana mengetengahkan isu buli dalam masyarakat.
Memetik laporan Berita Harian, Erma, 58, berkata, karya yang memaparkan gejala sosial lazimnya dihasilkan berdasarkan realiti kehidupan dan permasalahan yang berlaku di sekeliling masyarakat.
Bagi Erma, penceritaan mengenai isu berkenaan bukan bermaksud pengkarya mahu mempromosi atau menggalakkan perbuatan buli, sebaliknya, menjadi medium untuk membuka mata penonton mengenai kesan serta bahaya gejala berkenaan.
“Kalau drama TV atau filem yang ada unsur buli perlu diharamkan, lebih baik haramkan juga drama atau filem di Netflix yang lebih teruk. Haramkan juga media sosial dan permainan video.
“Sudah terbukti ada kes yang berlaku disebabkan seseorang itu terlalu taksub dengan permainan video. Dia terlalu leka dengan permainan yang mempunyai unsur keganasan.
“Tetapi kita belum pernah dengar lagi seseorang menjadi begitu hanya kerana menonton drama,” katanya.
Erma mengulas mengenai gesaan beberapa pihak supaya karya yang didakwa mempromosi atau mengandungi unsur buli diharamkan daripada tayangan kerana dikhuatiri memberi pengaruh negatif kepada penonton, khususnya generasi muda.
Baru-baru ini, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilapor menggesa kandungan drama dan filem yang memaparkan perlakuan buli dihentikan kerana dikhuatiri mencetuskan budaya ‘copycat’ dalam kalangan anak muda.
Dr Asyraf Wajdi dilapor berkata, drama dan filem yang memaparkan perlakuan buli dikhuatiri mendorong anak muda untuk meniru perlakuan berkenaan dan berlagak sebagai ‘kapla’, ‘taiko’ atau ‘otai’ dan sebagainya.
Bagaimanapun, Erma berkata, sesuatu karya tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan kewujudan babak atau elemen buli tanpa melihat keseluruhan jalan cerita, konteks serta mesej yang cuba disampaikan pengkarya.
Katanya, pengkarya tempatan masih tertakluk kepada garis panduan serta proses tapisan ditetapkan pihak berkuasa sebelum sesebuah karya ditayangkan kepada umum.
“Drama kita masih ada Lembaga Penapis Filem (LPF) dan orang seni pun belum sampai tahap tidak waras untuk menghasilkan cerita semata-mata bagi mempromosikan buli.
“Pasti ada sebab dan mesej tertentu yang mahu disampaikan. Kalau kita lihat keseluruhan cerita, mungkin kita akan faham mengapa babak itu dimasukkan,” katanya.
Erma berkata, kewujudan karya yang mengangkat isu buli sepatutnya dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap masalah yang sememangnya berlaku, terutama membabitkan golongan remaja.
Tambahnya, pengkarya tidak boleh menutup mata terhadap realiti sosial semata-mata kerana bimbang sesuatu isu itu dianggap sensitif atau boleh memberi gambaran negatif.
“Kenapa perkara itu mencetuskan ilham kepada pembikin filem untuk menghasilkan cerita mengenai buli? Semuanya kerana terlalu banyak kes seperti itu berlaku di luar sana.
“Kita tidak boleh menyembunyikannya di bawah karpet. Sebaliknya, kita perlu tingkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai masalah ini supaya ada badan atau pihak tertentu yang tampil berusaha membasmi kes buli, khususnya di asrama,” katanya.
Erma mempersoalkan sama ada pihak yang mencadangkan pengharaman drama atau filem berunsur buli terlebih dahulu menonton keseluruhan karya terbabit sebelum membuat kesimpulan mengenai kesannya terhadap penonton.
Baginya, penilaian terhadap sesebuah karya perlu dibuat secara menyeluruh dan tidak hanya berdasarkan potongan video atau komen yang tular di media sosial.
Erma berpendapat platform seni mempunyai kekuatan tersendiri dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat, terutama generasi muda, menerusi pendekatan penceritaan yang lebih dekat dengan kehidupan mereka.
“Mesej yang disampaikan melalui watak, visual dan jalan cerita berpotensi memberi kesan yang lebih mendalam berbanding pendekatan berbentuk nasihat atau syarahan semata-mata.
“Sepatutnya dalam hal ini, mereka juga perlu mengakui bahawa untuk menyampaikan sesuatu mesej, platform seni adalah antara medium yang paling mudah dan cepat.
“Kita boleh beri syarahan di 100 sekolah sekalipun, tetapi belum tentu mesej itu masuk dalam fikiran anak-anak.
“Tetapi kalau mesej itu disampaikan melalui visual, melalui cerita yang boleh memberikan mesej yang baik, ia mungkin lebih mudah difahami,” katanya.
Bagaimanapun, Erma tidak menolak kemungkinan sesebuah karya dikenakan tindakan sekiranya kandungannya benar-benar tidak mempunyai nilai positif atau mesej yang jelas.
Tambahnya, pengkarya juga perlu memahami tanggungjawab mereka dalam menghasilkan karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi mampu memberi manfaat serta membuka ruang perbincangan mengenai isu masyarakat.
Erma berkata, masyarakat juga perlu memberi ruang kepada pengkarya untuk mengangkat isu sukar melalui medium seni, selagi penceritaan berkenaan mempunyai konteks dan tidak bertujuan mengagungkan perbuatan negatif.
Katanya, isu buli tidak akan hilang hanya dengan tidak membenarkan ia dipaparkan dalam drama atau filem, malah perbincangan mengenainya perlu terus digerakkan supaya masyarakat lebih peka terhadap kesan yang boleh ditanggung mangsa. – BH Online –
IMedikel TV






