Home Buletin Semasa IRENE SOFIYA MAUT AKIBAT TRAUMA TUMPUL DI KEPALA

IRENE SOFIYA MAUT AKIBAT TRAUMA TUMPUL DI KEPALA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang ditemukan maut di dalam sebuah dewan sekolah di kawasan Yong Peng, Batu Pahat, Johor pada Sabtu lalu disahkan meninggal dunia akibat trauma tumpul pada bahagian kepala.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, perkara itu disahkan hasil bedah siasat yang dijalankan Pakar Patologi Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat pada  Ahad llalu, dengan punca kematian direkodkan sebagai ‘blunt trauma to the head’.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menjalankan siasatan berhubung kematian mangsa yang dipercayai dibunuh dalam kejadian berkenaan.

“Siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan pada 3 Oktober, hari sama kejadian bagi membantu siasatan.

“Permohonan reman terhadap remaja berkenaan diluluskan Majistret selama enam hari, bermula 4 Oktober hingga 9 Oktober ini,” katanya.

Beliau berkata pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan kes berkenaan.

“Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen menutup kes atau melindungi mana-mana pihak.

“Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Terdahulu, IMedikel TV melaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan empat ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor sini, 3 Oktober lalu.

Mangsa berusia 16 tahun ditemui neneknya yang datang ke sekolah berkenaan selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah kira-kira 5.30 petang.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here