Home Buletin Semasa WANITA MENYAMAR PENGARAH KANAN IMIGRESEN DIDAKWA, DIPENJARA 12 BULAN, DENDA RM8,000

WANITA MENYAMAR PENGARAH KANAN IMIGRESEN DIDAKWA, DIPENJARA 12 BULAN, DENDA RM8,000

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

MELAKA: Seorang suri rumah berusia 51 tahun dijatuhi hukuman penjara 12 bulan serta denda RM8,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dokumen imigresen yang dipalsukan.

Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini dalam kenyataan media memaklumkan, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka, pada 5 Oktober lalu mengikut Seksyen 56(1)(1) Akta Imigresen 1959/63.

“Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Tuan Kamarul Aris Kamalluddin.

“Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan dari tarikh tangkapan serta denda RM8,000,” katanya.

Beliau berkata sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara tambahan selama enam bulan.

“Kami memandang serius sebarang cubaan menyamar sebagai pegawai imigresen atau memalsukan dokumen berkaitan perkhidmatan imigresen.

“Perbuatan sedemikian bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengelirukan orang awam serta menjejaskan keyakinan terhadap integriti dan kewibawaan jabatan,” katanya.

Orang awam turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai JIM.

Sebarang urusan berkaitan perkhidmatan imigresen hendaklah dibuat menerusi saluran rasmi atau dengan hadir sendiri ke pejabat JIM yang berhampiran.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here