KUALA LUMPUR: Kesibukan memenuhi komitmen kerja membuatkan pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, bimbang ada jemputan majlis pernikahan dan persandingannya terlepas pandang.
Memetik laporan Berita Harian, Bella, 31, berkata, terlalu banyak urusan yang perlu diselesaikan dalam satu masa menyebabkan dia terpaksa menyerahkan tanggungjawab mengedarkan jemputan kepada pembantunya.
“Saya masih mempunyai komitmen kerja yang perlu diselesaikan seperti kolaborasi, penggambaran dan rakaman.
“Terlalu banyak perkara yang perlu diuruskan dalam satu masa. Jadi, saya bimbang ada perkara yang terlepas pandang, khususnya berkaitan dengan jemputan.
“Ada kawan-kawan yang menghantar WhatsApp yang saya sendiri belum sempat semak.
“Mereka bertanya kenapa masih belum menerima jemputan, sedangkan ada yang sudah terima,” katanya ketika ditemui pada sidang media Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Jumaat lalu.
Bella bagaimanapun memohon maaf sekiranya ada tetamu yang terlepas pandang daripada senarai jemputan.
Dalam pada itu, Bella berkata, tumpuannya kini turut terarah kepada persiapan Kenduri Rakyat yang akan berlangsung di Muar, Johor pada 25 Oktober dan Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober.
Katanya, perkara yang dibimbangkan adalah memastikan segala persiapan dan keperluan mencukupi memandangkan jumlah tetamu yang bakal hadir tidak dapat dijangkakan.
“Kami sendiri tidak dapat menjangkakan berapa ramai yang akan datang. Di Sabah misalnya, saya sendiri tidak boleh memberikan jumlah yang spesifik kerana kita tidak tahu berapa ramai yang akan hadir.
“Tetapi, insya-Allah, kami akan cuba sedaya upaya dan melakukan yang terbaik supaya segala keperluan mencukupi untuk semua yang datang,” katanya.
Bella dan Syed Saddiq bakal diijabkabulkan dalam sebuah majlis tertutup di Menara Merdeka 118, Sabtu ini.
Majlis pernikahan itu akan mengangkat konsep serba putih dengan elemen Arab dan Islamik, manakala majlis persandingan pula dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober ini. – BH Online –
IMedikel TV






