Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Polis sedang menyiasat kejadian khianat di Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan, di sini, selepas pintu kaca masjid dipecahkan dan cecair berwarna coklat kehijauan dituang pada karpet ruang solat, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, kejadian itu diketahui selepas anggota Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 6.35 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati terdapat cecair berwarna coklat kehijauan serta berbau kurang menyenangkan dituang pada karpet di ruang solat masjid.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut mendapati seorang lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 295 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek, motif kejadian serta jumlah kerosakan atau kerugian yang terbabit.
IPD Tumpat memandang serius kejadian berkenaan dan sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau tuduhan, selain tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan terus kepada Bilik Gerakan IPD Tumpat di talian 09-725 6226,” katanya.
IMedikel TV






