Home Buletin Semasa KPDN SIASAT DAKWAAN PENGGUNA KERETA GAGAL DIHIDUPKAN SELEPAS ISI MINYAK

KPDN SIASAT DAKWAAN PENGGUNA KERETA GAGAL DIHIDUPKAN SELEPAS ISI MINYAK

PENANG: Rata-rata pelayar laman sosial Threads hari ini membuat hantaran dengan menasihatkan pengguna supaya berjaga-jaga dengan tidak mengisi petrol RON95 di beberapa stesen minyak di kawasan utara, khususnya Pulau Pinang.

Ini berikutan mereka mendakwa bahawa enjin kenderaan gagal dihidupkan selepas membuat pengisian bahan api berkenaan yang dikhuatiri telah bercampur dengan air, sedangkan sebelum itu berfungsi dalam keadaan baik.

Pengguna di kawasan Batu Kawan kemudian membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang yang pihak berkuasa itu mengambil maklum serta telah menghantar pegawai penguat kuasa bagi menjalankan siasatan lanjut.

Pengarahnya, S Jegan, berkata penelitian lanjut bersama wakil
syarikat serta pengusaha stesen minyak tidak menemukan sebarang kehadiran air atau pencemaran dalam tangki simpanan bahan api RON95 di stesen minyak terbabit.

Menurutnya, pasukan pemeriksaan turut membuat semakan terhadap rekod sistem pengukur paras tangki automatik (ATG) secara menyeluruh, meliputi bacaan semasa pemeriksaan serta rekod bagi tempoh tiga hari terdahulu.

“Hasil semakan rekod ATG mendapati tiada bacaan yang menunjukkan kehadiran air dalam tangki berkenaan sepanjang tempoh yang disemak dan pemeriksaan fizikal di kawasan pam dan bahagian ruangan takungan dibawah tangki tidak menemukan sebarang pengumpulan air selain pemeluwapan biasa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelasnya, pemeriksaan secara manual menggunakan kayu pengukur turut dilakukan di kedua-dua tangki RON95 dengan menggunakan pes pengesan air (WFP) yang disapukan pada kayu pengukur sebelum dimasukkan ke dalam tangki bagi mengesan kehadiran air.

Katanya, sekiranya terdapat air di dalam tangki, pes pengesan air itu akan berubah warna sebagai petunjuk kehadiran air.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada perubahan warna dikesan dan tidak menunjukkan sebarang tanda kehadiran air.

“Pemeriksaan secara visual terhadap bahan api yang dikeluarkan daripada semua muncung pam juga mendapati bahan api yang dikeluarkan kelihatan jernih serta tiada pencemaran dapat dikesan melalui pemerhatian mata kasar,” katanya.

Sementara itu, Jegan berkata, KPDN negeri bersama wakil syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak akan terus bekerjasama melaksanakan tindakan susulan yang bersesuaian bagi memastikan perkara itu ditangani secara menyeluruh serta kepentingan dan keselamatan pengguna sentiasa diberi keutamaan.

“Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang kesimpulan awal berdasarkan maklumat yang tular di media sosial, sebaliknya menyalurkan aduan secara rasmi kepada KPDN melalui WhatsApp 019-8488000, Portal e-Aduan KPDN, Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar EzADU KPDN,” katanya.

Tegasnya, sekiranya terdapat maklumat atau aduan daripada pengguna yang mempunyai kaitan dengan isu berkenaan, KPDN bersedia mendapatkan maklumat lanjut serta menjalankan tindakan pemeriksaan atau siasatan mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang berkaitan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here