Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang menahan seramai 27 warga asing dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di daerah ini dan Pekan, kelmarin.
Operasi turut membabitkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pahang, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).
JIM dalam kenyataan di laman rasmi memaklumkan, operasi bersepadu diketuai Pegawai Bahagian Penguatkuasa JIM yang menyerbu premis dan kediaman yang menjadi tumpuan warga asing di daerah ini dan Pekan.

“Sepanjang operasi dijalankan seramai 96 individu terdiri warga asing beberapa negara diperiksa kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan seperti tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas lawatan/permit kerja, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua 27 warga asing tahanan direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan di Depot Imigresen Kemayan untuk siasatan lanjut,” kata JIM.
JIM Pahang menyeru orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di lokaliti masing-masing bagi membantu pihak berkuasa membanteras isu kebanjiran golongan terbabit di negeri ini.
Tindakan perundangan yang tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap PATI dan mana-mana pihak yang menggaji serta memberi perlindungan kepada mereka.
IMedikel TV






