THANLYIN: Seramai 1,476 migran Myanmar yang dihantar pulang dari Malaysia tiba di Myanmar pada Ahad, selepas tiga kapal Tentera Laut negara itu berlabuh di pangkalan tentera laut Thanlyin.
Memetik laporan Sinar Harian, seorang pegawai Tentera Laut Myanmar berkata, kesemua kapal berkenaan tiba sebelum jam 7.30 pagi waktu tempatan.
Pegawai itu tidak dinamakan kerana tidak diberi kebenaran bercakap kepada media.
Wartawan AFP yang berada di lokasi melihat ratusan ahli keluarga berkumpul sejak awal pagi di luar pangkalan berkenaan bagi menunggu kepulangan saudara-mara mereka.
Kereta, teksi dan bas turut berbaris di kawasan itu bagi membawa pulang migran selepas selesai proses ketibaan.
Seorang penduduk, Kyaw Myint, 55, berkata, dia datang untuk menjemput tiga cucunya yang berada dalam tahanan di Malaysia selama kira-kira setahun setengah.
Dia berkata sudah enam tahun tidak bertemu mereka.
“Sejak mereka dimasukkan ke penjara, kami terputus hubungan,” katanya kepada AFP.
Bagaimanapun, Kyaw Myint berkata dia bimbang cucunya berdepan risiko kerahan tenaga selepas kembali ke Myanmar. – Sinar Harian Online –
IMedikel TV






