Oleh: Wartawan IMedikel TV
BATU PAHAT: Seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun direman enam hari, susulan kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat yang ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, di sini semalam.
Perintah reman dibenarkan bermula hari ini hingga Jumaat depan oleh Majistret Mustaqim Sukarno di Mahkamah Batu Pahat.
Permohonan reman dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pelajar terbabit dipercayai rakan sekelas tiba menaiki kereta polis di perkarangan Mahkamah Batu Pahat kira-kira jam 10.20 pagi.
Semalam, seorang pelajar perempuan yang dikenali sebagai Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16 ditemui maut di dalam dewan sebuah sekolah di Yong Peng kira-kira jam 5.30 petang.
Dalam kejadian itu, Allahyarham Irene Sofiya dijumpai nenek dan rakannya yang mencari arwah di sekolah selepas mangsa tidak pulang ke rumah dan mendapati terdapat kecederaan parah pada bahagian muka.
IMedikel TV






