Home Buletin Semasa PENDEKATAN SAINS BANTU PERKENAL WARISAN BUDAYA KEPADA GENERASI MUDA

PENDEKATAN SAINS BANTU PERKENAL WARISAN BUDAYA KEPADA GENERASI MUDA

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KUALA TERENGGANU: Menghubungkan literasi kebudayaan masyarakat setempat dengan bidang sains memberi dimensi baharu dalam usaha mendekatkan generasi muda kepada warisan budaya, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah yang sedang membentuk jati diri dan kefahaman terhadap kepelbagaian tradisi masyarakat.

Justeru, Persatuan Huang Terengganu memikul tanggungjawab sosial tersebut menerusi penganjuran program Pencerapan Bulan dan Pesta Tanglung yang berlangsung selama sehari di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), sekali gus mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat yang hadir bersama ahli keluarga masing-masing.

Melalui penganjuran itu, persatuan yang diterajui oleh Wee Pit Beng melihat inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan memelihara warisan kebudayaan masyarakat Cina di Terengganu, malah menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara kaum melalui perkongsian nilai, tradisi dan pengalaman yang boleh dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.

“Pendekatan berbeza pada tahun ini adalah dengan menggunakan elemen sains sebagai medium untuk mendekati generasi muda dalam usaha memperkenalkan mereka kepada warisan budaya dan susur galur mereka sendiri.

“Sebagai contoh, tanglung merupakan antara simbol penting dalam kebudayaan kami, namun di sebaliknya terdapat pelbagai aspek sains yang menarik untuk diterokai bersama.

“Begitu juga dengan aktiviti pencerapan bulan yang mempunyai hubungan rapat dengan tradisi masyarakat Cina dan boleh dijelaskan melalui perspektif saintifik,” katanya.

Menurut beliau, pada tahun lalu program ini dianjurkan pada skala yang lebih kecil dan kebanyakannya hanya diketahui dalam kalangan komuniti setempat di Kampung Cina, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, penganjuran di PSKT pada tahun ini memberi nilai tambah tersendiri apabila membuka peluang kepada masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang untuk hadir mengenali serta memahami budaya masyarakat Cina dengan lebih dekat.

“Usaha tersebut turut mendapat sokongan PSKT yang mengamalkan dasar pintu terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin memanfaatkan fasiliti pusat itu bagi program yang memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi PSKT, Hilman Hajijan berkata, penganjuran berkenaan membuka dimensi baharu terhadap fungsi pusat sains yang bukan sekadar memfokuskan bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), tetapi turut berperanan sebagai platform mengangkat nilai budaya dan kemasyarakatan.

“Penganjuran ini membuktikan bahawa pusat sains di sini bukan hanya tempat untuk mempelajari STEM semata-mata, malah mampu menjadi ruang yang menghubungkan ilmu pengetahuan dengan warisan budaya serta nilai masyarakat yang perlu terus dipelihara dan diraikan bersama.

“Kami sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai inisiatif yang mampu memberi manfaat kepada komuniti,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutup program berkenaan.

Program berkenaan tidak hanya tertumpu kepada perarakan tanglung dan aktiviti pencerapan bulan sebagai acara utama, malah turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sejak awal pagi termasuk pertandingan Pesona Cilik Fesyen Cina, pertandingan memasak Citarasa Mek Awang, sesi merasa kuih bulan dan persembahan kesenian.

Penganjuran pelbagai acara itu berjaya menarik penyertaan masyarakat pelbagai usia yang hadir memeriahkan program bersama keluarga. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here