Muscat: Tindakan pelancong lelaki duduk di atas seekor penyu sambil menunjukkan ototnya selain memegang anak haiwan itu membawa padah apabila dia kini berdepan tindakan undang-undang di Oman.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, rakaman yang turut dikongsi media tempatan bagi meningkatkan kesedaran menunjukkan pelancong terbabit duduk di atas belakang seekor penyu sambil menunjukkan otot bahunya.
Pada masa sama, dia dilihat memegang seekor anak penyu dengan sebelah tangannya.
Khaleej Times melaporkan, perbuatan lelaki terbabit dirakam di kawasan Ras Al Hadd sebelum video berkenaan tular di media sosial dan mendapat perhatian pihak berkuasa negara itu.
Pihak Berkuasa Alam Sekitar Oman memaklumkan, tindakan diambil selepas pihaknya memantau rakaman yang tersebar dan mendapati perbuatan berkenaan melanggar undang-undang serta peraturan perlindungan hidupan liar negara itu.
“Kita mengingatkan orang ramai supaya tidak menyentuh, mendekati atau mengganggu penyu bagi memastikan keselamatan haiwan itu serta memelihara habitat semula jadinya
“Perlindungan biodiversiti adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kesedaran dan komitmen semua pihak termasuk rakyat tempatan, penduduk serta pelancong.
“Pengunjung perlu melaporkan sebarang pelanggaran atau perbuatan yang boleh memudaratkan hidupan liar kerana tindakan yang mengancam haiwan serta habitat semula jadi tidak akan diterima,” katanya.
Ras Al Hadd yang terletak di wilayah Sur, Sharqiya kira-kira 350 kilometer dari Muscat menjadi lokasi antara 6,000 hingga 12,000 penyu datang bertelur sepanjang musim panas dari Jun hingga Oktober setiap tahun.
Kawasan itu menjadi habitat empat jenis penyu iaitu penyu agar, penyu lipas, penyu karah dan penyu tempayan manakala penyu belimbing turut ditemui di perairan berhampiran pantai Oman.
Penyu agar antara spesies paling banyak ditemui di Ras Al Hadd dengan haiwan berkenaan menghabiskan sebahagian besar kehidupannya di laut sebelum kembali ke daratan ketika musim panas untuk bertelur. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






