Home Buletin Semasa 44 PENDAKWAH HADIR MUSYAWARAH UKHAWIYYAH PAHANG

44 PENDAKWAH HADIR MUSYAWARAH UKHAWIYYAH PAHANG

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Seramai 44 tokoh agama dari dalam dan luar negara yang mendapat perakuan mengajar agama di Pahang menyertai program Musyawarah Ukhawiyyah, sebagai platform memperkukuh kefahaman serta pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam penyampaian dakwah kepada masyarakat.

Program berkenaan juga adalah simbolik bagi memudahkan urusan mendapatkan tauliah kepada para tokoh agamawan.

Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, program berkenaan turut membuka ruang untuk mengeratkan hubungan serta pertukaran pandangan antara pihak berkuasa agama negeri bersama tokoh agamawan, pendakwah dan asatizah.

Menurutnya, inisiatif itu juga adalah usaha memberi pengiktirafan kepada tokoh agama, alim ulama dan pendakwah yang aktif menyampaikan ceramah khususnya di Pahang.

Katanya, pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap aspek pengajian agama kerana aktiviti keagamaan memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang teguh berpegang kepada agama, selain mewujudkan kehidupan yang baik dan sejahtera.

“Pihak berkuasa agama negeri sentiasa berusaha menganjurkan pelbagai program bagi membangunkan masyarakat serta memperkukuh kefahaman dan penghayatan agama dalam kalangan umat Islam.

“Kita mengalu-alukan kehadiran para ulama untuk berkunjung dan menjalankan program dakwah serta aktiviti keagamaan di negeri ini,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato’ Ahmad Hairi Hussain dan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Zaki Mohd Zain.

Dalam pada itu, Asmadi berkata, semua aktiviti keagamaan yang ingin dilaksanakan di Pahang tertakluk kepada peraturan ditetapkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), termasuk keperluan mendapatkan kebenaran atau tauliah rasmi sebelum sesuatu aktiviti dijalankan.

Beliau berkata, Musyawarah Ukhawiyyah diharap dapat menjadi wadah berterusan untuk pertukaran pandangan, perkongsian ilmu dan pengalaman, selain membuka lebih banyak ruang kepada pertemuan serta program ilmiah membabitkan para ulama di Pahang.

Sementara itu, pendakwah bebas Datuk Mohammad Kazim Elias menyifatkan usaha MUIP memberi pencerahan mengenai peraturan ceramah sebagai langkah yang baik bagi memastikan golongan pendakwah memahami dan mematuhi ketetapan sedia ada.

“Sebagai pendakwah bebas, kami perlu mengetahui dan mematuhi peraturan sedia ada,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here