Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Insentif kewangan mengiringi atlet kontinjen Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sarawak yang berjaya meraih pingat pada saingan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-66 di Stadium Darul Makmur, minggu lalu.
Setiap pingat berbeza nilai insentif layak diterima oleh atlet, RM500 bagi pingat emas diikuti RM200 pingat perak dan RM100 pingat gangsa. Imbuhan berupa galakkan dan pembakar semangat itu disediakan Majlis Sukan Sarawak (MSS).
Ini diakui atlet lompat jauh dan lompat kijang MSS Sarawak, Joanna Sangster yang menjadi antara atlet tertinggi meraih insentif dengan keseluruhan RM900 selepas meraih pingat dalam acara lompat jauh dan pingat gangsa acara lompat kijang.
Menurut pelajar Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), selain insentif kejayaan meraih pingat dia turut menerima imbuhan lain seperti penyumbang pingat emas pertama buat kontinjen MSS Sarawak.
Katanya, setiap tahun Majlis Sukan Sarawak menyediakan insentif kejayaan meraih pingat pada atlet yang menyertai Kejohanan Olahraga MSSM, imbuhan berkenaan mampu menambahkan lagi semangat serta kesungguhan atlet untuk memburu pingat.
“Selepas lima kali bersaing di kejohanan olahraga MSSM, ini kali pertama saya berpeluang meraih insentif selepas mendapat satu pingat emas dan satu pingat gangsa. Kejayaan berkenaan lebih bermakna apabila menerima RM900.
“Wang yang diterima dapat digunakan untuk perbelanjaan harian, tinggal berjauhan dengan keluarga memerlukan lebih bijak berbelanja,” katanya, dihubungi di sini semalam.
Katanya, dia mula menyambung persekolahan di SSMP sejak empat bulan lalu dan belajar di situ hingga 2028.
Kesunggahan Joana memburu kejayaan dalam akademik dan sukan menjadi matlamat dia membuat keputusan meninggalkan keluarga di kampung.
Joanna berkata, selepas enam kali berpeluang beraksi dipentas MSSM, misi seterusnya selepas ini untuk mewakili Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan 2028.
“Saya akan berusaha mendapatkan pingat tidak kira warna sebagai membalas kepercayaan yang diletakkan Majlis Sukan Sarawak pada setiap atlet yang membawa cabaran kontinjen Kenyalang,” katanya.
Rakannya, Cristhy Shailey Nami, berkata dia hanya berpuas hati menerima RM100 selepas mendapat pingat gangsa dalam acara lompat jauh, percubaan acara lompat kijang tidak berhasil.

“MSSM kali ini memberi banyak pengalaman berharga yang dapat mematangkan lagi dalam sukan peringatan kebangsaan,” katanya.
IMedikel TV






