Home Sukan KANE IDAM TROFI LIGA JUARA-JUARA MUSIM INI

KANE IDAM TROFI LIGA JUARA-JUARA MUSIM INI

MUNICH: Bayern Munich menjadikan Liga Juara-Juara Eropah sebagai sasaran utama musim ini selepas beberapa kali hampir menjulang trofi berprestij itu, dengan Harry Kane menegaskan ‘ia perlu jadi tahun kami’.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Bayern tersingkir dengan penuh kekecewaan kepada Paris Saint-Germain (PSG), yang kemudian muncul juara, dalam aksi separuh akhir musim lalu.

PSG memenangi aksi pertama yang sengit 5-4 sebelum mengikat Bayern 1-1 pada aksi kedua di Munich untuk mara ke final, sebelum menewaskan Arsenal menerusi penentuan penalti bagi merangkul kejuaraan kedua berturut-turut.

Bayern memulakan cabaran memburu Piala Eropah ketujuh apabila melayan kelab Norway, Bodo/Glimt, di laman sendiri pada Jumaat ini.

Bekas pemain tengah Bayern dan juara Liga Juara-Juara 2013, Bastian Schweinsteiger, percaya kekurangan kedalaman skuad boleh menjadi halangan utama kepada harapan kelab itu untuk menjulang trofi berkenaan buat kali pertama sejak tahun 2020. 

Pengendalinya, Vincent Kompany menjadikan Liga Juara-Juara sebagai sasaran utama pasukan, selain meneruskan penguasaan Bayern dalam saingan domestik.

“Sasaran bersama Bayern sentiasa yang tertinggi: memenangi Bundesliga, memenangi Pokal (Piala Jerman), memenangi Liga Juara-Juara dan mungkin juga memenangi setiap perlawanan,” kata Kompany kepada majalah kelab itu pada Ogos.

Bayern sudah dua kali mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara sepanjang tiga tahun Kane bersama kelab itu, namun gagal melangkah lebih jauh.

Pada musim 2023-24, Bayern hampir mara ke final tetapi menjadi mangsa kebangkitan Real Madrid yang ketika itu dalam perjalanan memburu kejuaraan.

Kane dikeluarkan ketika Bayern mendahului dengan satu gol dan berbaki enam minit dalam aksi kedua, sebelum kelab Sepanyol itu menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit untuk mengubah kedudukan.

“Ya, kami benar-benar hampir. Saya fikir musim lalu ia hanya ditentukan oleh perbezaan yang sangat kecil apabila kami tersingkir kepada pasukan yang memenangi Liga Juara-Juara dua kali berturut-turut. Tiada apa yang perlu dimalukan.

“Kami memasuki musim ini dengan berkata bahawa ini mesti menjadi tahun kami. Kami perlu mencari jalan untuk melakukannya,” kata Kane kepada TNT Sports mengenai peluang Bayern musim ini.

Kapten England itu sudah melalui banyak pengalaman hampir meraih kejayaan bersama kelab dan negara sepanjang kariernya.

Kane yang sebelum ini sering dikritik kerana kekurangan trofi berpasukan, kini sudah memenangi lima kejuaraan sejak menyertai Bayern, termasuk dua Bundesliga dan satu Piala Jerman.

“Ia bukan sekadar mengenai menjadi pasukan terbaik. Kadangkala anda juga memerlukan sedikit nasib pada saat yang tepat,” katanya. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here