KUALA LUMPUR: “Tak tahu nak rasa macam mana.”
Demikian luahan Taanusiya Chetty, 26, selepas melakar pencapaian membanggakan apabila meraih tempat ketiga pada pertandingan akhir Miss World 2026 di Nha Trang, Vietnam.
Memetik laporan Berita Harian, berkongsi perasaan menerusi hantaran Threads, gadis kelahiran Kuala Lumpur itu menyifatkan peluang membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa sebagai anugerah besar buat dirinya.
Taanusiya yang juga guru berkata, pencapaian di pentas berprestij itu membuktikan kerjaya dalam bidang pendidikan bukan penghalang untuk sesiapa mengejar impian dan mengharumkan nama negara.
“Sejauh ini saya dapat membawa nama negara adalah suatu anugerah yang sangat besar.
“Sekarang, saya cuma berharap lebih ramai percaya bahawa seorang guru juga mampu bermimpi besar, melangkah jauh dan membawa nama negara ke pentas dunia,” tulisnya.
Taanusiya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik Miss World 2026 selepas mengetepikan cabaran 110 peserta dari seluruh dunia dalam pertandingan yang berlangsung hampir sebulan.
Pencapaian itu turut menyamai rekod Lina Teoh yang meraih tempat ketiga pada Miss World 1998, sekali gus menjadikan kedua-duanya antara wakil Malaysia dengan pencapaian terbaik dalam sejarah pertandingan berkenaan.
Mengulas perjalanan advokasinya, Taanusiya berkata, segala usaha menerusi inisiatif Be The Change Malaysia yang diasaskannya pada 2022 dilakukan dengan kepercayaan bahawa perubahan besar boleh bermula daripada langkah kecil.
“Dengan sepenuh hati, untuk Be The Change Malaysia segala yang saya perjuangkan, saya lakukan kerana percaya bahawa perubahan bermula dengan satu langkah kecil,” katanya.
Taanusiya turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kepercayaan dan sokongan sepanjang perjalanannya mewakili Malaysia di pertandingan itu.
“Terima kasih semua kerana percaya pada saya. Ini bukan hanya mengenai sejauh mana saya pergi, tetapi sejauh mana kita boleh membawa perubahan bersama,” tulisnya.
Miss World 2026 menyaksikan gelaran juara menjadi milik Joheirry Mola Dominguez dari Republik Dominikanmanakala Elisabeth Reynes Alabern dari Sepanyol menduduki tempat kedua.
Taanusiya atau mesra disapa Taanu terlebih dahulu melayakkan diri ke kelompok enam terbaik selepas memenangi segmen Beauty With A Purpose (BWAP), sekali gus mengetepikan wakil Zimbabwe, Brunette Makanyiso.
BWAP adalah antara pengiktirafan utama Miss World yang menilai komitmen serta impak projek kemasyarakatan yang diperjuangkan peserta.
Dalam segmen gaun malam, Miss World Malaysia 2024/2025 itu tampil anggun dalam persalinan merah jambu rekaan Minh Tuan Couture dari Vietnam.
Sepanjang pertandingan, Taanusiya mencuri perhatian menerusi keyakinan dan keperibadiannya, selain kemampuan bertutur dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.
Beliau turut menjadi perhatian selepas berucap dalam empat bahasa ketika Head-to-Head Challenge Miss World 2026 pada 23 Ogos lalu.
Pencapaian itu bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, malah mengukuhkan kedudukan Taanusiya sebagai antara figura baharu yang menyerlah dalam dunia ratu cantik global. – BH Online –
IMedikel TV






