Home Buletin Semasa 76 MURID DISARING, 45 DITEMUI RABUN DALAM PROGRAM KESIHATAN MATA HPUSM

76 MURID DISARING, 45 DITEMUI RABUN DALAM PROGRAM KESIHATAN MATA HPUSM

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seramai 76 murid berusia antara enam hingga 12 tahun menjalani saringan kesihatan mata menerusi Program Saringan Kesihatan Mata dan Sumbangan Cermin Mata Percuma di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2 pada 27 Ogos lalu.

Program anjuran Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) itu turut memberi tumpuan kepada murid asnaf dan anak yatim bagi memastikan golongan berkenaan tidak tercicir daripada mendapatkan penjagaan kesihatan mata yang sewajarnya.

Pakar Oftalmologi HPUSM, Dr Ng Kwang Sheng berkata, saringan secara berkala penting bagi mengesan masalah penglihatan dalam kalangan murid pada peringkat awal supaya intervensi bersesuaian dapat diberikan.

“Kesihatan mata yang baik amat penting bagi memastikan murid dapat mengikuti proses pembelajaran dengan lebih berkesan.

“Justeru, saringan mata secara berkala amat diperlukan bagi mengesan masalah penglihatan lebih awal dan membolehkan intervensi yang bersesuaian diberikan.

“Pada masa sama, kita turut memberi perhatian kepada murid daripada keluarga yang kurang berkemampuan supaya mereka tidak terpinggir daripada mendapatkan penjagaan kesihatan mata yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan yang dikendalikan pasukan doktor mata HPUSM mendapati 45 murid mengalami masalah rabun, manakala 10 lagi mengalami mata juling.

“Seorang murid pula dikenal pasti mengalami masalah kelopak mata jatuh, sementara 16 murid mempunyai tahap kesihatan mata yang normal.

“Daripada keseluruhan murid yang disaring, 14 murid yang dikenal pasti mempunyai masalah mata dirujuk ke Klinik Oftalmologi HPUSM untuk pemeriksaan lanjut, manakala 17 murid lagi dirujuk ke Klinik Oftalmologi Hospital Tanah Merah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata murid yang memerlukan cermin mata tetapi menghadapi kekangan kewangan turut dirujuk kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi mendapatkan bantuan.

“Seramai 27 murid dianggarkan layak menerima bantuan cermin mata bagi membantu memperbaiki penglihatan serta menyokong proses pembelajaran mereka.

“Program berkenaan adalah sebahagian daripada Program Intervensi Bersasar Myopia dalam Kalangan Pelajar Sekolah di Negeri Kelantan yang diterajui HPUSM sejak 2022 dan dilaksanakan di seluruh negeri,” katanya.

Program berkenaan memberi fokus kepada pengesanan awal masalah penglihatan, khususnya rabun jauh atau myopia, dalam kalangan murid sekolah.

Program yang berlangsung dari 8 pagi hingga 1 tengah hari itu turut mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), MAIK, Optometris Keluarga dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dalam memperkukuh akses murid kepada penjagaan kesihatan mata.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here