Home Buletin Semasa ‘GENG PAAN SILVER’ SERIK CURI MOTOSIKAL

‘GENG PAAN SILVER’ SERIK CURI MOTOSIKAL

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Cukuplah sekali terbabit dengan kesalahan mencuri motosikal tahun lalu, lima remaja bersumpah tidak akan ulangi perbuatan yang menyalahi undang-undang itu kembali.

Itu janji lima remaja lelaki berumur 14, 15 dan 18 tahun yang kini masing-masing sedang menjalani hukuman melakukan khidmat masyarakat selama 80 jam dalam tempoh enam bulan di bawah seliaan Bahagian Perintah Khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.

Bergerak dalam satu kumpulan dengan nama ‘Paan Silver’ mereka mencuri empat unit motosikal jenis Honda EX5 di bandar Kuala Lipis tahun lalu sebelum tersungkur diberkas polis.

Ketua kumpulan ‘Paan Silver’, Hadi, 14, (bukan nama sebenar), berkata mereka sempat mencuri empat unit motosikal jenis Honda EX5 bersama empat rakan sebelum ditahan polis tahun lalu.

“Selama enam hari kami ditahan dalam lokap bagi tujuan siasatan sebelum dikenakan hukuman melakukan khidmat masyarakat.

“Selaku ketua kumpulan saya terbabit merancang dan turut sama melarikan motosikal, aktiviti mencuri dilakukan waktu malam di kawasan bandar Kuala Lipis. Dalam masa kira-kira dua minit saya dan seorang lagi rakan dapat melarikan motosikal Honda EX5.

“Ternyata ‘langit tidak selalu cerah’ sepandai ‘tupai melompat’ akhirnya saya dan empat lagi rakan ditangkap polis. Kami sama-sama menerima hukuman diatas kesalahan dilakukan hingga memalukan keluarga,” katanya, di sini baru-baru ini.

Dia yang masih meneruskan persekolahan di tingkatan dua berkata, asbab terlalu minat dengan motosikal jenis Honda EX5 mendorong dia terbabit dengan aktiviti mencuri kenderaan berkenaan tanpa berfikir panjang akibat yang bakal diterima.

Hadi menambah, faktor mudah untuk melarikan motosikal jenis berkenaan yang hanya mengambil masa kira-kira dua minit mendorong dia dan rakannya terbabit dengan kegiatan jahat itu hingga akhirnya ditangkap polis.

Rakanya yang hanya mahu dikenali sebagai Haikal, 15, berkata kerana terlalu ikutkan hati dia turut bertindak mencuri motosikal jenis Honda EX5 milik saudaranya.

Katanya, motosikal yang dicuri diubah suai bagi mengelak dikesan pemiliknya termasuk pihak berkuasa, kebolehan yang dimiliki membolehkan mereka bekerjasama dalam semua perkara bermula daripada awal hingga akhir.

“Saya dan rakan-rakan kini insaf dan menyesal dengan kesalahan yang dilakukan sebelum ini, kami reda dengan hukuman yang dikenakan. Walaupun tidak terlalu berat hukuman diterima namun ia cukup menjadi pengajaran terhadap kesalahan dilakukan.

“Kami berjanji tidak akan ulangi perbuatan lalu, kami terlalu mengikut jiwa muda yang sentiasa ingin mencuba walaupun mengetahui menyalahi undang-undang,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here