Home Buletin Semasa EMPAT REMAJA DIKHUATIRI LEMAS: KELUARGA SANGKA ANAK KE JOHOR, RUPANYA BERKHEMAH DI...

EMPAT REMAJA DIKHUATIRI LEMAS: KELUARGA SANGKA ANAK KE JOHOR, RUPANYA BERKHEMAH DI PANTAI

Oleh: Wartawan IMedikel TV

​KOTA TINGGI: “Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku. Kalau dah tak ada, dapat bawa balik jasad pun kami dah syukur.”

Demikian luahan bapa kepada Muhammad Thaqif Rayyan,16 antara empat mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi manda bersama rakan di Pantai Tanjung Lompat di sini, hari ini.

Bapa mangsa, Rumainoor Salleh, 47 berkata sikap anaknya sedikit berubah apabila menjadi kerap berkurung di dalam bilik sejak seminggu lalu.

​”Dia cuma ada beritahu kakaknya nak pergi Johor ikut ibu kawan. Saya balik kerja malam, pagi tadi bangun tengok bilik dia dah tak ada. Telefon banyak kali pun tak berangkat.

​”Sekitar pukul 8.10 pagi, barulah saya terima panggilan telefon daripada anak maklumkan mengenai kejadian ini,” katanya ketika ditemui di lokasi di kejadian hari ini.

Sementara itu kakak mangsa Nur Adriana Dania, 24 berkata hubungan mereka dua beradik sangat rapat, sejak kematian ibu, Salimah Abu Bakar pada tahun 2021.

​”Dia memang terus terang dengan saya dulu, takkan beritahu ayah sebab saya yang ada dengan dia 24 jam. Kalau ada apa-apa info, sama ada saya beritahu ayah atau tunggu dia balik baru kami maklumkan.

​”Tetapi semalam dia tak ada cakap langsung nak pergi berkhemah kat sini. Dia cuma cakap nak pergi tempat lain. Pagi tadi sekitar pukul 7.30 pagi, kawan dia tiba-tiba datang rumah beritahu adik saya dah lemas,” katanya.

Dalam perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) satu mayat dipercayai mangsa, Alif Taqiudin Kamal Hasrul Mohamad ditemukan kira-kira jam 1.25 petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Mohd Syamsuri Mohamad berkata, mayat tersebut ditemukan pasukan penyelamat dan orang ramai kira-kira 800 meter dari kawasan mangsa mandi.

“Ahli keluarga ketika ini membuat pengecaman mayat mangsa dan mayat dihantar ke Hospital Kota Tinggi. Operasi mencari tiga lagi mangsa sedang dilakukan sehingga kini.

“Seramai 30 pasukan keselamatan terlibat iaitu polis, bomba, polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Persatuan Nelayan Tanjung Balau dan pelayar tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Penawar, Soleh Nasir berkata, kesukaran operasi tersebut adalah arus dasar laut yang kuat.

“Kita menggunakan teknik searching surface dalam operasi SAR ini dan keadaan pantai bergelora dan angin kuat ketika ini.

“Dua mangsa selamat dikenali sebagai Mohamad Faqrul Isqandar Abdullah dan Muhammad Afiq Ruzaini Mazlan.

“Manakala lagi tiga mangsa yang masih hilang ialah Mohamad Haiman Fitri Supian Muhammad Adib Hafiy dan Kamal Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor. Kesemua mangsa berumur 16 tahun,” katanya.

Dalam kejadian pukul 7.45 pagi tadi, seramai 15 remaja dilaporkan berkhemah sempena cuti sekolah di pantai berkenaan sebelum mandi-manda dengan enam daripada mereka dilaporkan lemas.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here