Home Buletin Semasa 23 PESAKIT MATA JULING JALANI PEMBEDAHAN 

23 PESAKIT MATA JULING JALANI PEMBEDAHAN 

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seramai 23 pesakit strabismus atau mata juling menjalani pembedahan menerusi Karnival Pembedahan Strabismus Kali Kedua di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM). 

Karnival yang berlangsung selama lima hari bermula 16 hingga 20 Ogos itu bukan sahaja menyediakan akses kepada rawatan pembedahan mata juling, malah membantu mengurangkan tempoh menunggu pesakit yang sebelum ini boleh mengambil masa berbulan-bulan, malah dalam sesetengah kes sehingga bertahun-tahun.

Pengarah HPUSM, Profesor Datuk Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani berkata, penganjuran karnival berkenaan bukan sekadar platform akademik atau pertemuan ilmiah, sebaliknya adalah satu inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada pesakit dan keluarga mereka.

“Strabismus bukan hanya melibatkan aspek kosmetik, malah boleh memberi kesan terhadap fungsi penglihatan, koordinasi mata serta perkembangan psikososial pesakit, khususnya kanak-kanak.

“Saya amat berbangga dengan penganjuran program ini kerana pada tahun lalu HPUSM juga telah berjaya membantu 25 orang pesakit yang mengalami masalah mata juling,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Wad 2 Utara, hari semalam.

Katanya pesakit yang dikenal pasti untuk menjalani pembedahan menerusi karnival berkenaan sebelum ini telah menjalani saringan penglihatan oleh pasukan HPUSM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan di sekolah-sekolah seluruh negeri.

“Hasil saringan mendapati seramai 200 pelajar sekolah rendah dan 100 pelajar sekolah menengah mengalami masalah mata juling dan memerlukan pembedahan secara berperingkat,”katanya.

Menurut beliau, ramai pesakit turut berdepan cabaran dari segi keyakinan diri serta kesukaran menyesuaikan diri dalam kehidupan seharian.

Sehubungan itu, beliau berkata, penganjuran karnival berkenaan turut mengukuhkan peranan USM sebagai universiti penyelidikan yang bukan sahaja menekankan pencapaian akademik, tetapi turut memberi impak sebenar kepada masyarakat.

“Ini membuktikan bahawa ilmu yang dipelajari tidak hanya terhenti di bilik kuliah atau makmal, sebaliknya dizahirkan dalam bentuk perkhidmatan dan khidmat bakti.

“InsyaAllah, dengan kejayaan yang dicapai melalui karnival ini, ia boleh menjadi platform untuk menganjurkan lebih banyak inisiatif seumpamanya pada masa akan datang bukan sahaja dalam bidang oftalmologi, tetapi juga dalam bidang kepakaran lain,” jelasnya.

Beliau turut berharap kejayaan penganjuran karnival itu menjadi titik tolak kepada pencapaian lebih besar, sekali gus memperkukuhkan peranan USM sebagai peneraju pendidikan, penyelidikan dan rawatan kesihatan di Malaysia.

Hadir sama Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian) HPUSM, Profesor Dr. Shatriah Ismail; Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif HPUSM, Profesor Madya Dr. Mohd Zulfakar Mazlan dan Ketua Jabatan Kejururawatan HPUSM, Nohayati Mohamad.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here