LONDON: Declan Rice mencuri perhatian ketika Arsenal meraikan kejayaan menewaskan Manchester City 3-0 dalam aksi Perisai Komuniti namun bukan kerana prestasinya di atas padang.
Memetik laporan AGensi menerusi berita Harian, pemain tengah England itu mengalami detik lucu apabila secara tidak sengaja terkena bahagian pemegang trofi Perisai Komuniti pada dahinya ketika mengangkat trofi berkenaan.
Selepas kapten Martin Odegaard terlebih dahulu menjulang trofi, setiap pemain Arsenal diberikan peluang untuk meraikan kejayaan bersama piala itu.
Bagaimanapun, ketika tiba giliran Rice, pemain berusia 27 tahun itu mengangkat trofi sebelum bahagian pemegangnya terkena tepat pada dahinya.
Rice kelihatan terkejut seketika akibat insiden berkenaan, namun reaksi itu pantas bertukar menjadi senyuman dan dia tidak kelihatan mengalami kecederaan serius.
Insiden itu menjadi antara momen mencuit hati dalam hari penuh kegembiraan buat Arsenal selepas mereka menewaskan City dengan penuh bergaya.
Riccardo Calafiori membuka jaringan seawal 24 saat, sekali gus mencipta rekod sebagai gol terpantas dalam sejarah Perisai Komuniti.
Arsenal kemudian menggandakan kelebihan menerusi Kai Havertz sebelum Odegaard melengkapkan kemenangan 3-0 pada separuh masa kedua.
Bagi pengendali baharu City, Enzo Maresca, kekalahan itu menjadi permulaan buruk dalam tugasan pertamanya menggantikan Pep Guardiola.
Maresca kini perlu segera memperbaiki kelemahan pasukannya sebelum City membuka kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Bournemouth, Ahad depan. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






