Home Luar Negara ANGKA KORBAN EBOLA DI DR CONGO CECAH 2,325

ANGKA KORBAN EBOLA DI DR CONGO CECAH 2,325

KINSHASA: Wabak Ebola yang sedang melanda Republik Demokratik Congo (DRC) meragut 2,325 nyawa, sekali gus menjadikannya wabak paling maut pernah direkodkan di negara itu, lapor Xinhua. 

Memetik laporan Xinhua menerusi harian Metro, DRC merekodkan 4,945 kes yang disahkan termasuk 2,325 kematian sejak wabak semasa bermula, menjadikan kadar kematian sebanyak 47.0 peratus, menurut laporan situasi yang dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan negara itu pada Ahad.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak Ebola 2018-2020 di timur DRC sebelum ini merekodkan 3,481 kes termasuk 2,299 kematian.

Wabak semasa, yang merupakan wabak Ebola ke-17 di DRC sejak virus itu kali pertama dikenal pasti di negara berkenaan pada 1976, diisytiharkan secara rasmi pada 15 Mei dan berpunca daripada spesies virus Ebola Bundibugyo.

Wabak itu menjejaskan 55 zon kesihatan di enam wilayah iaitu Ituri, Kivu Utara, Haut-Uele, Tshopo, Kivu Selatan dan Bas-Uele. 

WHO memberi amaran bahawa wabak Ebola semasa di DRC berpotensi menjadi yang terburuk pernah direkodkan. 

“Ia kini sudah menjadi epidemik Ebola kedua terbesar pernah direkodkan dan merebak lebih pantas berbanding mana-mana wabak Ebola sebelum ini. 

“Jika kadar semasa berterusan, ia dijangka mengatasi wabak Ebola Afrika Barat dari 2014 hingga 2016,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada taklimat media di Geneva Rabu lalu.

Epidemik Afrika Barat 2014-2016, yang merupakan wabak Ebola terbesar pernah direkodkan, menjangkiti lebih 28,600 orang. – BERNAMA-XINHUA, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here