Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Kuantan menahan bot pukat tunda bersama empat awak-awak warga asing diperairan Endau-Rompin kerana melanggar syarat sah lesen dikeluarkan Jabatan Perikanan.
Pemeriksaan mendapati bot yang berdaftar di negeri ini gagal mengemukakan kebenaran pertukaran alamat pengkalan daripada pegawai Jabatan Perikanan selain menggunakan pukat keroncong dengan saiz mata yang meragukan, kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985
Komander PPM Wilayah Tiga Kuantan, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Khairuddin Jamal berkata, tangkapan dilakukan pasukan bot peronda Markas Taktikal PPM Tanjung Gemok ketika Op Taring Gelora diperairan Rompin, kira-kira 11.30 pagi semalam.
“Ketika melakukan rondaan di kawasan perairan terbabit pasukan bot ronda mengesan bot nelayan jenis pukat tunda, pemeriksaan dilakukan mendapati mereka melakukan kesalahan dibawah Akta Perikanan 1985.
“Kita turut menahan empat awak-awak warga asing bagi membantu siasatan, bot dan hasil tangkap bernilai kira-kira RM72,000 yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Perikanan Pahang untuk tindakan lanjut. Kes disiasat dibawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.
“Bagi pihak PPM Wilayah Tiga Kuantan saya menasihatkan masyarakat agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang, pada masa kita akan terus komited mempergiatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan di perairan negara ini bagi memastikan semua pihak mematuhi undang-undang sedia ada,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.
Beliau berkata, masyarakat setempat khususnya komuniti maritim diharap dapat menyalurkan maklumat kepada pihaknya berkaitan aktiviti mencurigakan dan menyalahi undang-undang, sokongan mereka mampu melumpuhkan kegiatan di kawasan perairan negara ini.
Mohd Khairuddin berkata, nelayan tempatan diharap dapat menjadi mata dan telinga pada pihak berkuasa dalam memastikan perairan negara bebas daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.
IMedikel TV






