Home Buletin Semasa RM20,000 IRINGI KEJAYAAN ALIF RAKIB, JUARA DUNIA INTERIM MUAY THAI

RM20,000 IRINGI KEJAYAAN ALIF RAKIB, JUARA DUNIA INTERIM MUAY THAI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menyumbangkan RM20,000 kepada atlet Muay Thai negara, Alif Rakib sebagai penghargaan atas kejayaannya mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama bergelar Juara Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship.

Sumbangan itu disampaikan selepas Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud meraikan Alif bersama keluarganya dalam satu pertemuan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, semalam.

Mohd Nassuruddin berkata, kejayaan anak Kelantan itu bukan sahaja membanggakan negeri, malah turut mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Sebagai tanda penghargaan atas pencapaian membanggakan ini, Kerajaan Negeri Kelantan menyumbangkan RM20,000 kepada Alif Rakib,”katanya menerusi laman rasmi beliau semalam. 

Menurutnya, di sebalik kejayaan diraih, terserlah kesungguhan, keberanian dan disiplin tinggi yang dimiliki Alif sebagai seorang atlet muda.

“Di sebalik kejayaan tersebut, terserlah kesungguhan, keberanian dan disiplin seorang anak muda yang telah mengharumkan nama Kelantan dan Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Mohd Nassuruddin turut sempat berseloroh mengenai kekuatan pukulan Alif yang berjaya menumbangkan lawannya dalam aksi terdahulu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad.

“Saya dimaklumkan Alif dijangka kembali beraksi pada Oktober ini bagi menentang Prajanchai PK Saenchai, yang juga Juara Dunia Strawweight Muay Thai, dalam pertarungan yang dijadualkan berlangsung di Malaysia,”katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Kelantan dan seluruh rakyat Malaysia agar terus memberikan sokongan serta mendoakan kejayaan Alif dalam perjuangan seterusnya.

Beliau berharap Alif terus melakar kecemerlangan dan membawa nama Kelantan serta Malaysia lebih jauh di persada dunia.

“Sama-sama kita doakan dan berikan sokongan kepada Alif Rakib. Semoga terus cemerlang, melangkah lebih jauh dan terus mengharumkan nama Kelantan serta Malaysia di persada dunia,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here