Home Buletin Semasa KONON CARI PERLINDUNGAN, LELAKI SINGAPURA DICULIK KENALAN DI JOHOR

KONON CARI PERLINDUNGAN, LELAKI SINGAPURA DICULIK KENALAN DI JOHOR

Oleh: Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Hasrat seorang lelaki warga Singapura mencari perlindungan di Johor bagi mengelak ditahan pihak berkuasa negaranya bertukar mimpi ngeri apabila dia bersama teman wanitanya diculik, dikurung dan dicederakan sekumpulan kenalan sebelum keluarganya diminta membayar wang tebusan SGD80,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, lelaki berusia 32 tahun itu memasuki Malaysia secara haram tanpa dokumen perjalanan sah pada hujung Mei lalu.

Katanya, mangsa kemudiannya meminta bantuan seorang kenalannya di Singapura, namun lelaki itu dipercayai menjadi dalang kepada penculikan berkenaan.

“Selain mangsa lelaki, teman wanitanya, 28, yang juga warga Singapura turut diculik dan dikurung oleh kumpulan berkenaan.

“Keseluruhannya enam suspek terlibat. Kumpulan suspek mengambil wang tunai milik mangsa sebanyak SGD12,000 dan RM41,400 sebelum meminta wang tebusan SGD80,000 daripada ibu mangsa di Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai kejayaan polis menyelesaikan kes penculikan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Menurutnya, ibu mangsa kemudian memaklumkan kejadian berkenaan kepada Pasukan Polis Singapura (SPF), sebelum kerjasama dijalinkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Susulan itu, JSJ Bukit Aman bersama JSJ Johor menubuhkan pasukan khas pada jam 6 petang, semalam bagi menjalankan siasatan dan operasi menyelamatkan mangsa.

Kumar berkata, ketika berada dalam tahanan kumpulan berkenaan, mangsa lelaki dicederakan dengan dikelar pada kedua-dua bahagian pahanya.

“Gambar kecederaan pada kedua-dua paha mangsa kemudian dihantar kepada ibunya sebagai ugutan bagi mendesak pembayaran wang tebusan SGD80,000.

“Hasil rundingan, keluarga mangsa dan suspek bersetuju dengan bayaran SGD25,000. Sebanyak SGD5,000 dibayar terlebih dahulu secara dalam talian, manakala baki wang akan diserahkan secara tunai ketika pertemuan antara suspek dan keluarga mangsa,” katanya.

Menurutnya, pertemuan bagi urusan pembayaran wang tebusan itu ditetapkan di sebuah pasar raya di kawasan Nusa Bestari, Iskandar Puteri, pada jam 6 petang semalam.

“Dalam serbuan itu, polis berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 40 tahun dan menyelamatkan kedua-dua mangsa.

“Mangsa lelaki ditemui dalam keadaan cedera pada kedua-dua paha akibat kelaran yang dipercayai menggunakan senjata tajam,” katanya.

Susulan penahanan itu, polis menjalankan beberapa siri serbuan dan berjaya menahan empat lelaki serta seorang wanita warga tempatan berusia antara 30 hingga 46 tahun.

Kumar berkata, polis turut merampas wang tebusan sebanyak SGD12,000, wang tunai RM41,400 yang dipercayai milik mangsa, serangkai kunci rumah, 10 telefon bimbit, seutas rantai dipercayai emas, seutas jam tangan jenama Rolex dan sebuah kereta Perodua Axia berwarna merah.

Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM264,440.

“Hasil semakan mendapati lima daripada enam suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kedua-dua mangsa juga didapati positif methamphetamine dan dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.
Kesemua suspek direman selama 10 hari bermula 12 hingga 21 Ogos ini bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan sama, mangsa lelaki turut direman mengikut Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari bermula 12 hingga 25 Ogos kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah.

“Teman wanitanya pula direman selama empat hari bermula 12 hingga 15 Ogos berikutan keputusan saringan awal air kencing yang didapati positif dadah,”katanya.

Kumar berkata, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan, manakala polis meneruskan usaha mengesan suspek lain yang masih bebas.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here