Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan akan memperkenalkan pelan penambahbaikan komprehensif bagi memperketat kawalan keselamatan di lapangan terbang susulan insiden penahanan seorang juruterbang tempatan berkaitan penemuan dadah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu mendapat perhatian serius kerajaan dan sudah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu.
Katanya, Jemaah Menteri mengarahkan semua agensi berkaitan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pengangkutan, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Aviation Security, Malaysia Airports Berhad (MAB) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) duduk bersama bagi mengemukakan pelan penambahbaikan keselamatan lapangan terbang.
“Insiden penahanan juruterbang kita dengan penemuan dadah memang memerlukan perhatian berat dan sedang diberi perhatian berat oleh pihak kerajaan.
“Perkara ini dibincangkan oleh Jemaah Menteri pada minggu lalu dan arahannya adalah semua agensi berkaitan mesti duduk dan mengemukakan satu pelan penambahbaikan komprehensif mengenai keselamatan lapangan terbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengunjungi keluarga Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, di sini, hari ini.
Menurutnya, mesyuarat antara agensi berkaitan sudah diadakan semalam dan satu kertas mengenai pelan penambahbaikan kawalan keselamatan lapangan terbang dijangka dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.
Katanya, pelan berkenaan akan merangkumi aspek koordinasi, latihan, infrastruktur serta logistik, termasuk keberkesanan mesin pengimbas dan petugas yang mengendalikannya.
“Yang paling penting di lapangan terbang adalah mesin imbas. Kemudian pihak yang mengendalikan mesin imbas itu sendiri.
“Mesin imbas di lapangan terbang dikendalikan oleh Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) dan mereka mengikut standard Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan keselamatan ketika ini lebih memberi penekanan kepada pengesanan bom, senjata tajam dan pistol, namun aspek berkaitan kontraban perlu diselaraskan supaya tidak berlaku kelompongan dalam sistem keselamatan.
“Kalau pada skrin itu terpapar kontraban, walaupun dikesan pada mesin imbas, tetapi kerana standard pemeriksaannya bukan dari segi security biasa yang dikendalikan polis atau AKPS, kita perlu selaraskan balik aspek berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasiuton berkata, isu kamera litar tertutup (CCTV) bukan menjadi fokus utama penambahbaikan kerana kira-kira 5,000 CCTV sudah dipasang di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.
“Isunya bukan CCTV. Kalau ada kawasan blind spot, itu akan kita tambah baik.
“AKPS memang dalam fasa kedua operasinya membabitkan beberapa bentuk perolehan termasuk CCTV. Itu cuma peralatan dan infrastruktur. Jadi orang yang mengawasi atau memantau infrastruktur itu sendiri pun harus kita tengok balik dari segi standard dan latihan,” katanya.
Beliau berkata, semua aspek keselamatan akan dinilai semula secara menyeluruh bagi memastikan sistem kawalan di lapangan terbang lebih berkesan.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menunjukkan keprihatinan tinggi terhadap isu berkenaan dan menggesa semua pihak berkaitan memberikan keutamaan terhadap aspek keselamatan lapangan terbang.
“Ini membabitkan bukan saja keselamatan tetapi nama baik negara. Kita ini sangat cemerlang dari sudut ketibaan pelancong, malah kita mengatasi Thailand.
“Jadi ia membabitkan inbound dan outbound. Outbound ini yang terlepas, outbound di bawah AVTEC, manakala inbound berada di bawah kawalan kita juga, AKPS dan Kastam.
“Ini bukan masa untuk tunjuk lagi, tetapi masa untuk kita selaraskan dan koordinasikan supaya sama ada outbound atau inbound, perkara yang membabitkan bolosnya barangan terlarang tidak patut timbul,” katanya.
IMedikel TV






