Home Buletin Semasa KDN PERCEPAT BAYARAN FAEDAH, RINGANKAN BEBAN KELUARGA ANGGOTA POLIS MAUT RENJATAN ELEKTRIK

KDN PERCEPAT BAYARAN FAEDAH, RINGANKAN BEBAN KELUARGA ANGGOTA POLIS MAUT RENJATAN ELEKTRIK

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan akan mempercepatkan semua bentuk bayaran faedah dan kebajikan yang layak diterima keluarga Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, yang meninggal dunia akibat renjatan elektrik di Sabah, Khamis lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses bayaran berkenaan akan dilakukan secara fast track dan tidak melalui tempoh biasa bagi membantu meringankan beban balu Allahyarham, Fatimah Syaera Zahrul Saharudin, 28, serta anak mereka, Hariz Idraqi, 2.

Beliau berkata demikian ketika mengunjungi keluarga Allahyarham di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Menurutnya, kehilangan seorang anggota polis adalah kehilangan besar kepada pasukan, justeru aspek kebajikan keluarga anggota yang meninggal dunia amat diberi perhatian.

“Tujuan kunjungan kami adalah untuk menzahirkan rasa simpati seluruh pasukan polis kepada keluarga Allahyarham.

“Polis sebagai satu pasukan yang sifatnya disiplin sememangnya sangat memberikan penekanan kepada aspek kebajikan anggota dalam apa juga keadaan, lebih-lebih lagi dalam suasana seperti ini yang membabitkan kehilangan anggota kami,” katanya.

Saifuddin Nasiuton berkata, pihaknya turut menyampaikan sebahagian sumbangan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Kelantan, selain bayaran takaful serta caruman Allahyarham sebagai anggota Koperasi Polis.

Katanya, beliau turut mengarahkan supaya semua bayaran lain yang layak diterima keluarga Allahyarham diproses dengan segera.

“Saya juga meminta supaya proses semua bentuk bayaran lain yang arwah layak itu dipercepatkan secara fast track.

“Tujuannya adalah dalam kadar segera ini untuk meringankan beban kepada isteri dan anak arwah,” katanya.

Beliau berkata, Allahyarham turut menamakan isteri dan ibunya sebagai penerima pencen bulanan.

“Keseluruhan jumlah dalam semua bentuk sumbangan dan bayaran itu lebih RM200,000.

“Untuk pencen pula, isteri menerima sekitar RM800 manakala bakinya sekitar RM200 untuk ibu Allahyarham,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasiuton berkata, beliau memberi jaminan kepada keluarga Allahyarham bahawa urusan berkaitan kebajikan mereka akan terus diberi perhatian oleh pasukan polis.

“Saya sampaikan sendiri jaminan kepada isteri dan keluarga bahawa semua perkara yang berkaitan dengan urusan itu akan kita percepatkan, tidak melalui proses biasa.

“Saya juga sampaikan pesan kepada isteri arwah, selepas ini apa-apa perkara yang membabitkan kebajikan anak dan sebagainya, beliau boleh memaklumkan kepada pasukan polis,” katanya.

Beliau berkata, beliau dimaklumkan mengenai insiden menimpa Allahyarham ketika berada di Sabah bagi lawatan rasmi, termasuk meninjau kawasan keselamatan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Allahyarham Mohamad Nur Hafiz dilaporkan meninggal dunia akibat renjatan elektrik di Sabah pada Khamis lalu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here