Home Buletin Semasa 25 RX-Z ANTARA 45 MOTOSIKAL SELUDUP DISITA

25 RX-Z ANTARA 45 MOTOSIKAL SELUDUP DISITA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

RANTAU PANJANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya menumpaskan cubaan mengedar motosikal seludup bernilai kira-kira RM3.62 juta apabila menyita 45 motosikal dalam beberapa operasi yang dijalankan di Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor Bahru sepanjang tempoh Januari hingga Jun lalu.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Hisham Mohd Nor berkata, daripada jumlah itu, 25 motosikal yang dirampas adalah model Yamaha RX-Z, manakala selebihnya terdiri daripada pelbagai model lain yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk dipasarkan kepada pelanggan tempatan.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil operasi berterusan pasukan penguat kuasa JKDM Kelantan serta maklumat yang disalurkan orang awam.

“Nilai rampasan motosikal dianggarkan RM1,336,500, manakala jumlah duti dan cukai yang terlibat dianggarkan RM2,282,728.50.

“Ini menjadikan keseluruhan nilai rampasan termasuk duti dan cukai berjumlah RM3,619,228.50,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Hisham berkata, siasatan mendapati motosikal berkenaan diseludup masuk dari negara jiran sebelum disimpan di pelbagai lokasi termasuk bengkel, kawasan perumahan dan tempat letak motosikal sementara menunggu untuk diedarkan kepada pelanggan.

Menurutnya, kebanyakan motosikal terbabit dibawa masuk melalui laluan sungai menggunakan pangkalan haram sebelum diserahkan kepada orang tengah.

“Kegiatan itu dipercayai didorong oleh permintaan pasaran yang tinggi, dengan penyeludup membawa masuk motosikal berdasarkan tempahan pelanggan.

“Motosikal ini tidak mempunyai dokumentasi yang sah dan tidak boleh didaftarkan untuk kegunaan di negara ini,” katanya.

Menurutnya, selain digunakan sebagai sumber alat ganti, motosikal seludup terutama Yamaha RX-Z mendapat permintaan tinggi kerana dibeli pada harga murah, kemudian dibaik pulih dan dijual semula pada harga beberapa kali ganda lebih tinggi.

Tambah beliau, setakat ini pihaknya percaya ia dilakukan oleh individu-individu mengikut permintaan.

“Motosikal berkenaan diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Butiran 7, Bahagian II, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,”katanya.

Beliau berkata jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan atau RM50,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here