Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUALA LIPIS: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengadakan sambutan Hari Hutan Antarabangsa (HHA) 2026 peringkat negeri Pahang dengan menyediakan pelbagai acara di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, di sini.
Antara aktiviti pada program dua hari bermula hari ini termasuk menanam pokok, podcast, peluncuran buku, persembahan sewang, pelancaran program Kadet Rimbawan dan Tunas Rimbawan termasuk pameran agensi kerajaan.
Pengarahnya, Datuk Zainuddin Jamaluddin berkata, program akan dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, esok.
Menurutnya, sempena HHA kali ini lebih 150 pokok pelbagai spesies ditanam oleh tetamu termasuk guru pelatih yang begitu teruja apabila diberi peluang menanam pokok Palma Merah dalam kawasan yang disediakan.

“Lebih 250 peserta menyertai hari pertama program dengan aktiviti senamrobik dan menanam pokok. Sebelah petang diadakan podcast membabitkan lima pegawai JPNP.
“Saya berpuas hati dengan sambutan hari pertama program, penyertaan seramai 120 guru pelatih dan kakitangan IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan bersama sepuluh kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Lipis serta 70 pegawai dan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang membentuk suasana yang begitu ceriah dan meriah.
“Kakitangan jabatan bertanggungjawab membantu aktiviti menanam pokok hiasan di kawasan disediakan,” katanya, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Perhutanan (Pembangunan), Harry Yong dan Pengarah IPG kampus Tengku Ampuan Afzan, Dr Abdul Rahman Abdullah.
Pada majlis itu Jabatan Perhutanan Negeri Pahang turut menyumbang sebanyak 100 pokok nadir kepada IPG Tengku Ampuan Afzan.
Rata-rata guru pelatih yang ditemui berpendapat aktiviti menanam pokok yang diadakan memberi peluang kepada mereka menanam pokok buat kali pertama. Setiap mereka berpeluang menanam antara dua hingga tiga pokok.
IMedikel TV






