Home Buletin Semasa PENUNGGANG MOTOSIKAL BERKUASA TINGGI MAUT DIREMPUH AXIA 

PENUNGGANG MOTOSIKAL BERKUASA TINGGI MAUT DIREMPUH AXIA 

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Axia berhampiran FAMA Jalan Yaakubiah di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan berkenaan kira-kira jam 4.30 petang sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Kawasaki ZR800-A dari arah Paya Rambai menghala ke Balai Islam.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 32 tahun dari arah bertentangan dipercayai membelok ke kanan secara mengejut untuk memasuki lorong FAMA.

“Akibatnya, penunggang motosikal yang sedang bergerak lurus di laluan utama tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian sisi kiri kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu Perodua Axia hanya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian untuk menerima rawatan.

“Mayat mangsa pula dihantar ke hospital sama bagi tujuan bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Naqiyuddin Sharifuddin di talian 09-7752315.

Beliau turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati serta mematuhi undang-undang dan isyarat lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here