Home Buletin Semasa APM KELANTAN INGATKAN ORANG RAMAI JANGAN BERTINDAK MELULU KETIKA KES LEMAS

APM KELANTAN INGATKAN ORANG RAMAI JANGAN BERTINDAK MELULU KETIKA KES LEMAS

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Orang ramai diingatkan supaya tidak bertindak terburu-buru dengan terjun ke dalam air bagi menyelamatkan mangsa lemas kerana tindakan itu boleh mengundang risiko kehilangan dua nyawa serentak.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kelantan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Farid Ishak berkata, individu yang sedang lemas lazimnya berada dalam keadaan panik dan berkemungkinan menarik atau menolak penyelamat ke dalam air.

Menurutnya, tindakan paling selamat ialah menghulurkan sebarang objek yang boleh dicapai mangsa seperti kayu, tali atau pelampung bagi membolehkan mereka berpaut sebelum bantuan lanjut diberikan.

“Kalau nampak orang lemas, jangan terus terjun. Orang yang sedang lemas akan panik dan dia akan cuba berpaut pada apa sahaja untuk menyelamatkan diri. Keadaan itu boleh menyebabkan penyelamat pula ditarik ke dalam air.

“Sebaliknya, hulurkan kayu, tali atau pelampung kepada mangsa supaya dia boleh berpaut. Itu tindakan paling selamat yang boleh dilakukan orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Hari Bersama Media APM Negeri Kelantan 2026 yang diadakan di sebuah kolam renang di sini, hari ini.

Mohd Farid turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti air dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE), khususnya jaket keselamatan.

Katanya, walaupun pemakaian jaket keselamatan ketika mandi atau beriadah di air mungkin dianggap tidak selesa oleh sesetengah pihak, peralatan itu mampu menjadi penyelamat sekiranya berlaku kecemasan.

“Memang mungkin tidak selesa memakai jaket keselamatan ketika berada di air, tetapi apabila berlaku perkara yang tidak diingini, itulah yang boleh menyelamatkan nyawa,” katanya.

Terdahulu, program Hari Bersama Media APM Negeri Kelantan 2026 memberi pendedahan kepada pengamal media mengenai kemahiran asas menyelamat di air menerusi beberapa aktiviti termasuk water confident, pengenalan skuba meliputi pemasangan peralatan dan asas penyelaman, aktiviti selam skuba serta mencari harta karun dalam air (water treasure hunt).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here