Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan memperhebat pemeriksaan keselamatan kebakaran di rumah inap atau homestay di seluruh negeri ini bagi memastikan aspek keselamatan penghuni sentiasa terjamin.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, sehingga kini sebanyak 56 rumah inap telah diperiksa, manakala usaha mengenal pasti jumlah keseluruhan premis berkenaan di negeri ini masih diteruskan.
“Pemeriksaan itu bukan bertujuan mengambil tindakan terhadap pengusaha, sebaliknya meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pematuhan aspek keselamatan kebakaran.
“Kita masih dalam proses mengenal pasti rumah inap yang terdapat di negeri Kelantan. Kita bukan hendak mengambil tindakan, tetapi bagaimana hendak menyedarkan pengusaha supaya menyediakan sistem keselamatan kebakaran, sekurang-kurangnya mempunyai alat pemadam api yang boleh digunakan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di sini, semalam.
Menurutnya, pihaknya percaya terdapat rumah kediaman yang ditukar fungsi menjadi rumah inap tanpa mengambil kira keperluan keselamatan kebakaran yang sepatutnya dipatuhi.
“Keadaan itu boleh meningkatkan risiko kepada penghuni kerana mereka tidak biasa dengan susun atur rumah berkenaan, sekali gus menyukarkan tindakan menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan.
“Penghuni rumah inap tidak begitu biasa dengan rumah yang didiami. Sebab itu mereka perlu tahu tindakan awal yang perlu diambil sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan dan pemilik pula perlu menyediakan kemudahan keselamatan yang mencukupi,” katanya.
Farhan Sufyan berkata, JBPM Kelantan akan berbincang dengan pihak zon dan balai bomba bagi mempergiatkan lagi pemeriksaan dari semasa ke semasa, selain memastikan lebih banyak rumah inap mematuhi keperluan keselamatan kebakaran.
IMedikel TV






