Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: “Saya tidak pernah menduga selepas dua tahun mengikuti pengajian agama program tafaqquh fiddin, saya di anugerah sebagai pelajar terbaik keseluruhan,” kata prospek Penjara Penor, Sharul (bukan nama sebenar), 32.
Dia antara 39 prospek yang menerima sijil tamat pengajian pada Majlis Konvokesyen Kelas Pengajian Agama Islam Tafaqquh Fiddin Sesi 2024/2025 Siri Tiga dan Empat Peringkat Prospek Penjara Penor di Dewan Melati, Penjara Penor, di sini kelmarin.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Abdul Razak Abu Musa Saari. Turut hadir Timbalan Pengarah Penjara Pahang, Penolong Kanan Komisioner (PKK) Mohd Rusli Abd Rahman.
Sharul berkata, selepas dua tahun diberi peluang belajar di Sekolah Tahfiz Baitul Hikmah Penjara Penor, dengan tunjuk ajar beberapa ustaz dia menimba banyak ilmu agama termasuk kemahiran membaca al-Quran serta hafazan.
Katanya, setiap hari dia belajar di Sekolah Tahfiz Baitul Hikmah bersama rakan lain, peluang berkenaan digunakan sepenuhnya untuk mendalami bacaan al-Quran dan kini mampu menghafal empat juzuk al-Quran.

“Saya bersyukur Allah membuka hati saya untuk belajar membaca al-Quran dengan lebih baik dibimbing oleh ustaz yang berpengalaman, sejak mula belajar hingga kini semuanya dipermudahkan tanpa rasa jemu dan putus asa.
“Semangat menebal menuntut ilmu agama berakhir dengan kejayaan tidak diduga apabila meraih Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan termasuk Anugerah Pelajar Terbaik Fekah dan al-Quran serta tempat kedua Tauhid,” katanya yang tidak sabar untuk bebas pada Mei tahun depan.
Berasal dari Selangor dia disabitkan dengan kesalahan memiliki dadah pada 2020 menerima hukuman sepuluh tahun penjara dan 13 sebatan berkata, episod hitam dilalui mengajar erti kehidupan yang memerlukan kita sentiasa berhati-hati kerana ia boleh membawa kepada kemusnahan walaupun hakikatnya kita tidak melakukan jenayah itu.
Sharul yang sebelum ini bertugas dengan institusi kewangan berkata, apa yang berlaku mengubah segalanya apabila terpaksa merengkok dalam Penjara Penor dan menerima 13 sebatan pada 2024. Kehidupan bersama isteri dan seorang anak terpaksa ditinggalkan.
Pada majlis berkenaan seramai 13 prospek terpilih sebagai peserta terbaik dengan menerima sijil penghargaan dan wang tunai. Kategori yang ditetapkan adalah bidang Al Quran, Faekah, Tauhid dan Tasawuf.
Majlis diadakan menjadi simbol kejayaan prospek dalam menimba ilmu agama, malah membuktikan komitmen Jabatan Penjara Malaysia bersama Yayasan Pahang dalam memperkasa program pemulihan berteraskan pendidikan dan pembangunan sahsiah bagi melahirkan insan berilmu, berakhlak dan bersedia kembali ke pangkuan masyarakat.
IMedikel TV






